Seramai 12 lelaki dan seorang wanita warga China ditahan dalam satu serbuan di sebuah banglo mewah yang dijadikan pusat panggilan (call centre) perjudian atas talian di Kajang pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 9.45 malam berdasarkan risikan dan maklumat orang awam.

Ternyata taktik licik sindiket dengan menggunakan rumah banglo mewah berjaya dihidu pihak berkuasa selepas serbuan membawa kepada penahanan kesemua suspek.

Turut dirampas, 13 komputer riba dan 28 telefon bimbit pelbagai jenama yang digunakan sindiket bagi menjalankan judi atas talian.

Maklumat awal mendapati, premis itu telah beroperasi sebulan lalu dengan transaksi kewangan mencecah RM200,000 sehari.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.