Seramai 9,721 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan yang cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2015.

Ia merupakan 2.38 peratus pelajar yang mendapat gred A+, A dan A-.

Keputusan itu bagaimanapun mencatatkan penurunan berbanding 11,289 calon, iaitu 2.63 peratus pada tahun 2014.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof prestasi penurunan kali ini tidak dilihat sebagai penurunan yang ketara.

"Perubahan pada format soalan pada kali ini kepada aras yang lebih tinggi. Pelajar perlu memberi jawapan atau respon secara kreatif dan kritis.

"Kerajaan akan meneruskan usaha yang sedang dijalankan dan pastikan berlakunya peningkatan.

"Kami akan beri tumpuan yang melibatkan kaedah pengajaran dari guru-guru serta sejauh mana murid dapat menguasai pemahaman," kata Dr. Khair dalam satu sidang media di Putrajaya pada Khamis.

Sementara itu, indeks Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun 2015 adalah 5.15, berbanding 5.08 pada 2014 iaitu menurun sebanyak 0.07.

Indeks GPN yang digunakan adalah bagi menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara dimana jika semakin kecil nilai indeks ia menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Katanya, jurang pencapaian GPN calon di bandar dan di luar bandar tahun ini mengecil sebanyak 0.05 berbanding tahun sebelum.

Bagaimanapun pencapaian calon bandar menurun 0.09 iaitu 4.94 kali ini berbanding 4.85 pada 2014, manakala pencapaian calon luar bandar juga menurun 0.04 iaitu 5.44 berbanding 5.40 pada tahun lepas.

Prestasi mata pelajaran pula diukur menggunakan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan prestasi mata pelajaran yang lebih baik.

"Bagi mata pelajaran teras, tiga daripada tujuh mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Pendidikan Moral.

"Mata pelajaran Pendidikan Moral menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.30 iaitu 4.40 pada tahun 2015 berbanding 4.70 pada 2014.

"Mata pelajaran Pendidikan Islam menunjukkan penurunan tertinggi sebanyak 0.44, iaitu 4.72 pada tahun ini berbanding 4.18 pada tahun lepas." katanya.

Mengenai pensijilan SPM, Dr. Khair berkata 346,681 calon SPM 2015 yang pertama kali menduduki dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran teras layak dianugerahkan sijil.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 316,596 adalah dari calon sekolah KPM manakala selebihnya 30,175 merupakan calon selain sekolah KPM.

Selain itu, jumlah calon berkeperluan khas untuk SPM 2015 meningkat kepada 1,165 calon berbanding 964 pada 2014.

Mengulas pengiktirafan SPM di peringkat antarabangsa, Dr. Khair memaklumkan pakar pentaksiran luar negara dari Cambridge International Examinations (CIE), United Kingdom, New Zealand Qualifications Authority (NZQA), New Zealand dan Pearson, United Kingdom telah dijemput hadir dalam Mesyuarat Penentuan Standard.

"Pakar pentaksiran yang hadir berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen, pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan dan Mesyuarat yang dilaksanakan dengan penuh profesionalisme dan kredibilti," kata Dr. Khair.

Seramai 440,682 calon menduduki SPM tahun 2015 yang diadakan dari 2 November hingga 8 Disember, berkurangan sebanyak 15,157 calon berbanding tahun sebelumnya.