Tujuh calon Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang sepatutnya bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menuntut keadilan selepas didakwa ditipu sebanyak RM870,000 oleh 'penasihat kewangan' parti tersebut yang dipercayai melarikan wang pendahuluan pencalonan mereka.

Ketua USNO Bahagian Tenom, Norlia Yuntong berkata, akibat tindakan suspek, seramai 84 calon tidak layak bertanding PRU14 pada 9 Mei ini.

"Kami rasa tertipu dan kecewa yang mana sepatutnya pada 27 April lalu, Pusat USNO sepatutnya membayar wang pendahuluan pencalonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Namun, kami dimaklumkan bahawa kami tidak layak bertanding kerana gagal membayar wang pendahuluan pencalonan.

"Kami masih berusaha menjejaki dalang kes ini dan tidak menolak kemungkinan bahawa presiden parti turut terlibat dalam konspirasi penipuan menjelang PRU14," katanya dalam satu sidang media di sini, pada Isnin.

Sementara itu, Sharudin Sukimin yang sepatutnya menjadi calon kerusi Parlimen Tuaran berkata, suspek yang disyaki terlibat merupakan salah seorang yang terawal mengasaskan parti tersebut.

Jelas Sharudin, suspek bertindak demikian kerana mempunyai masalah dalaman bersama presiden parti tersebut.

"Alasan yang diberikan suspek, dia inginkan presiden dan setiausaha agung parti ini meletakkan jawatan.

"Jika mereka letak jawatan, dia akan mengembalikan wang tersebut kepada calon-calon yang telah menyerahkan wang pendahuluan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden tersebut.

"Siasatan masih dijalankan dan suspek kini sedang diburu polis.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana jenayah pecah amanah," katanya.

Terdahulu, hanya dua calon sahaja daripada USNO layak bertanding dalam PRU14 selepas membayar wang pendahuluan menggunakan wang mereka sendiri.

Kedua-dua calon tersebut akan bertanding di kerusi DUN Balung dan Merotai.