Pasangan kekasih yang ditahan bagi membantu siasatan kes mencampakkan bayi dari tingkat 13 Pangsapuri Sri Ivory, Air Itam, Pulau Pinang sehingga maut semalam direman enam hari bermula hari ini hingga 16 Julai.

Perintah tahanan reman dibuat di dua lokasi berbeza iaitu di Lokap Berpusat Bayan Baru dan juga di Wad Bersalin Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata remaja berusia 18 tahun yang juga ibu kandung bayi perempuan tersebut dan teman lelakinya itu ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Soffian, remaja perempuan berkenaan masih ditahan di HPP untuk rawatan susulan dan menjalani sesi kaunseling.

"Remaja berkenaan dilaporkan sihat dan sedang menerima rawatan. Apabila semua rawatan selesai, doktor memaklumkan kemungkinan dia akan dibenarkan keluar dari HPP Isnin ini," kata Soffian ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi Jumaat, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan, maut selepas dicampak ibunya sendiri dari tingkat 13 pangsapuri 25 tingkat itu.

BACA: Pasangan kekasih ditahan kes campak bayi dari tingkat 13 pangsapuri

Ibu bayi itu mengaku melahirkan bayi pada 6.30 pagi Jumaat di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga dan mendakwa membuang bayinya selepas panik serta mengelak diketahui ahli keluarga.

Suspek terbabit yang juga penuntut di sebuah kolej itu ditahan di rumahnya manakala teman lelakinya yang tidak bekerja dan mempunyai satu rekod jenayah lampau ditahan di Jalan Penawar, Air Itam pada jam 12 tengahari semalam.

Remaja perempuan yang belum berkahwin itu ditahan selepas dia bertindak mencampakkan bayinya sendiri selepas melahirkan anak di dalam tandas rumahnya.