Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, budaya sebahagian ahli politik menggunakan kuasa untuk mengawal pihak berkuasa masih berterusan sehingga ke hari ini, lalu menjadi punca siasatan polis terganggu dan institusi itu hilang taring.

“Budaya ini masih beterusan dan masyarakat tahu perkara ini menerusi akhbar berhubung lokasi judi haram dan tempat maksiat dan ada pihak-pihak ini kadangkala tidak takut dan segan dengan pihak polis sehingga ada yang lawan pihak polis zaman sekarang ini.

“Saya fikir ini semua sebab campur tangan pihak politik, dan disebabkan mereka ada kawan dengan ‘orang besar’ jadi mereka tak segan dengan pihak berkuasa," katanya ketika bercakap pada program Bual Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Tambahnya lagi, terdapat juga sebahagian ahli politik yang menggunakan kuasa mereka untuk melindungi rakan-rakan mereka yang menjalankan perniagaan pasaran gelap.

“Kadang-kadang ahli politik pun banyak rakan mereka terlibat kegiatan yang tidak betul. Jadi bila kita nak ambil tindakan, ada sahaja yang hubungi untuk halang pihak polis jalankan siasatan.

“Saya tak boleh terima arahan seperti itu, saya terpaksa jalankan tugas dan mengambil tindakan," katanya lagi ketika berkongsi antara cabaran yang terpaksa ditempuhi ketika mengetuai tampuk pimpinan Polis Diraja Malaysia.

Tegasnya, polis sepatutnya bebas dalam menjalankan tanggungjawabnya meskipun dikawal di bawah Badan Pencegahan Rasuah yang kini dipikul oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).