Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan untuk membuat pemeriksaan segera ke atas semua premis pengeluar air minuman botol untuk mengesahkan dari mana punca air itu diperolehi.

Ini sejajar dengan tindakan pihak berkuasa Singapura yang menarik balik air minuman jenama Starfresh daripada pasaran republik itu pada 12 Jun ekoran pencemaran bakteria Pseudomonas aeruginosa iaitu sejenis bakteria yang ditemui dalam najis, air dan sisa kumbahan.

Menurut Singapore Food Agency (SFA) bakteria itu boleh menyebabkan pelbagai jangkitan tetapi jarang menyebabkan penyakit serius pada individu yang sihat.

Dalam satu kenyataan akhbar, Presiden Pemangku CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata bahawa tindakan serupa juga harus dilakukan di Malaysia jika produk itu dijual di sini untuk mengelakkan sebarang risiko kesihatan.

"Kita mahu tahu apa yang akan dilakukan terhadap botol air minuman Starfresh yang ditarik balik itu, sama ada air akan disterilkan sebelum dibuang," katanya.

Beliau juga mengatakan bahawa meminum air yang telah dimasak menggunakan gelas atau cawan masih merupakan alternatif yang ideal berbanding air botol kerana bakteria dan klorin yang berbahaya di dalam air akan terhapus.

"Gelas atau cawan yang kita gunakan itu boleh dicuci dan tidak seperti botol plastik yang mempunyai plasticisers yang boleh mengganggu sistem endokrin badan, yang bertanggungjawab untuk kanser tumor, kecacatan kelahiran, dan gangguan terhadap perkembangan tubuh badan," katanya.

-- BERNAMA