Pemimpin pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) sentiasa berfikir dan mencari penyelesaian mendapatkan kerjaya yang sesuai untuk mahasiswa selepas mereka menamatkan pengajian kelak.

Presiden Himpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (NAMSA), Mohamad Ihsan Ahmad Nordin berkata, ia termasuk mencari peluang dalam kerjaya melibatkan pembangunan profesional di Malaysia.

"Pelajar-pelajar dapat menyuarakan pandangan mereka termasuk perbincangan bersama pemimpin-pemimpin pelajar kepada idea-idea yang berbeza.

"Ia inisiatif kerjaya masa depan selain mengamalkan kemahiran yang mereka pelajari dalam latihan kepimpinan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.

Mohamad Ihsan berkata demikian ketika mengulas Sidang Kemuncak US-X yang berlangsung selama dua hari di Serdang baru-baru ini.

Ia adalah program inisiatif NAMSA dan disokong TalentCorp Malaysia yang memberi fokus kepada penyediaan pembangunan profesional bagi pelajar Malaysia di AS.

Ia merupakan program sulung yang mengumpulkan pemimpin pelajar Malaysia dari seluruh AS dengan bantuan perunding latihan Leaderonomics.

Dalam pada itu jelas Mohamad Ihsan, mereka juga berhasrat untuk mengumpul pelbagai pemimpin pelajar dari pelbagai latar belakang yang berbeza dan jurusan kolej pada program akan datang.

"Kami percaya bahawa acara ini akan membawa banyak peluang bukan sahaja untuk pelajar tetapi juga untuk syarikat-syarikat dan agensi-agensi Malaysia untuk bertemu dengan bakat yang luar biasa dan pekerja mereka pada masa depan.

"Sidang Kemuncak US -X juga dengan bangganya mengumumkan Boustead Holding Berhad dan WeMalaysia sebagai penaja dan penyumbang utama dalam program ini," katanya.

Sidang kemuncak itu dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia Berhad, Shareen Shariza Abdul Ghani.

Acara itu disokong sepenuhnya Talent Corporation Malaysia, Boustead Heavy Industries
Corporation Berhad, Boustead Holdings Berhad, WeMalaysia.

Sementara Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai Talent
Corporation Malaysia sentiasa memberi bantuan dalam pembangunan bakat di Malaysia sekali gus membolehkan Malaysia mencapai aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi.

Kata Mohamad Ihsan, semua pihak berkenaan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan untuk menangani jurang kemahiran dalam sektor ekonomi di Malaysia.

"WeMalaysia sendiri sentiasa memainkan peranan penting dalam membangunkan patriotisme dan menyatukan semua rakyat Malaysia tidak kira mereka berada di dalam negara atau luar negara," ujarnya.

NAMSA adalah sebuah organisasi yang berkhidmat kepada pelajar Malaysia semasa mereka menuntut di AS.

NAMSA itu juga berhasrat menjadi badan yang menyatukan persatuan-persatuan pelajar Malaysia selain menjalin hubungan yang antara pelajar di seluruh negara.