Tidak puas dengan menumbuk kepala dan menendang muka isterinya hingga berdarah, seorang lelaki turut mencederanya dengan menggunakan besi senaman jenis 'barbell'.

Bagaimanapun, lelaki berumur 36 tahun itu berjaya ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Tabanak, dekat sini, pada Rabu, selepas isterinya yang berusia 26 tahun itu membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata, kejadian pertama berlaku pada Ahad lalu dimana suspek menumbuk kepala, menendang muka dan membaling barbell ke arah mangsa sehingga cedera.

"Dalam masa sama, anak tiri mangsa turut dipukul sehingga cedera di tulang rusuk. Kemudian pada petang Rabu, sekali lagi suspek mengamuk sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa ketakutan.

"Mereka bertindak lari dari rumah dan bergegas membuat laporan polis lalu sepasukan anggota polis kami menahan suspek bersama peralatan digunakan untuk mencederakan mangsa," katanya ketika dihubungi, pada Khamis.

Menurut Nasri, suspek pernah berkahwin tujuh kali dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.