Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Cek untuk Zahid, ditukar 'yuran khidmat rundingan' kepada 'kebajikan' - Saksi

Cek untuk Zahid, ditukar 'yuran khidmat rundingan' kepada 'kebajikan' - Saksi
Ahmad Zahid (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa (kiri) yang hadir mengikuti prosiding perbicaraan Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 20 Feb, 2020. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis diberitahu bahawa cek bernilai RM300,000 diserahkan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditulis bagi tujuan yuran khidmat rundingan sebelum dipotong dan ditukar kepada tujuan kebajikan.

Pengarah syarikat pemprosesan visa Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB) Azlan Shah Jaffril, 49, berkata beliau sendiri yang menyerahkan cek itu kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Beliau bagaimanapun berkata kerja rundingan yang ditulis pada cek itu adalah kesilapan pekerjanya.

“Memang sumbangan diberikan bertujuan untuk kebajikan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.
Beliau berkata demikian pada hari ke-18 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berhadapan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Disoal Gan lagi, adakah sesiapa mengarahkannya menulis bagi tujuan kebajikan, saksi itu berkata, "Tidak".

Gan berkata bagi dua cek lagi bernilai RM1 juta dan RM700,000 masing-masing ditulis bagi tujuan kebajikan dan sumbangan politik.

Ketika membacakan penyataan saksinya, Azlan Shah berkata ketiga-tiga cek atas nama Lewis & Co iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid diserahkannya kepada Ahmad Zahid di tiga lokasi berbeza di Putrajaya iaitu di pejabat TPM, di pejabat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kediaman rasmi TPM di Seri Satria di antara 2 Ogos 2017 dengan 13 Feb 2018.

Katanya, beliau menyerahkan kesemua cek tersebut secara serahan tangan pada tiga pertemuan iaitu pertemuan ketiga, keempat dan kelima bersama Ahmad Zahid.

“Semasa pertemuan ketiga (di pejabat TPM) ketika menyerahkan sampul surat berisi cek RM300,000 Datuk Seri Ahmad Zahid mengarahkan saya untuk meninggalkan sampul surat tersebut di atas meja beliau.

“Pertemuan keempat (pejabat KDN) saya menyerahkan sampul surat berisi cek RM1 juta sewaktu bersalaman bersama Datuk Seri Ahmad Zahid selepas selesai satu majlis anjuran KDN dan pertemuan kelima, saya menyerahkan sampul surat berisi cek RM700,000 di kediaman rasminya,” katanya.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-38 itu berkata ketika pertemuan pertama dengan Ahmad Zahid di Hotel Ritz Carlton di Jakarta, Indonesia  pada 19 Sept 2015, saksi ada meminta beliau (Ahmad Zahid) mempertimbangkan supaya syarikatnya boleh mula beroperasi di Bangladesh berkenaan projek One Stop Centre (OSC).

Bagaimanapun, pada pertemuan kali kedua pada 11 Nov 2015 yang beliau tidak ingat lokasinya, pihaknya telah menerima surat pembatalan kebenaran untuk menjalankan OSC pemprosesan visa bagi Bangladesh daripada pihak KDN.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 2 Mac.

-- BERNAMA