Seorang lelaki Orang Asli terpaksa menahan kesakitan lebih 20 jam akibat cedera diserang seekor beruang di kawasan hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan.


Dalam kejadian pukul 12 tengahari semalam, Husin Dollah, 35, diserang beruang matahari ketika berada di hutan itu untuk mencari buah-buahan bersama rakannya, Asem Along, 32.

Husin mengalami kecederaan akibat dicakar beruang di bahagian kepala, mata, tangan kiri dan kaki kanan.

Bagaimanapun, rakannya berjaya menyelamatkan diri dan menghalau beruang itu sebelum membawa keluar mangsa dari kawasan hutan bagi mendapatkan bantuan.

Husin mengalami kecederaan akibat dicakar beruang di bahagian kepala, mata, tangan kiri dan kaki kanan. - Foto JBPM

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima laporan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) pada pukul 3.54 petang untuk mengambil seorang pesakit Orang Asli.


Menurutnya, cuaca buruk akibat hujan lebat menyebabkan penerbangan menggunakan helikopter Agusta 109 E dari pangkalan Udara JBPM Subang terpaksa dilakukan pada pukul 8.14 pagi, hari ini.


Katanya, helikopter itu kemudian mendarat di Pos Belatim kira-kira pukul 9.30 pagi untuk mengambil pesakit terbabit.

Helikopter yang membawa pesakit itu berjaya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 10.10 pagi.


Helikopter yang membawa pesakit itu berjaya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 10.10 pagi. - Foto JBPM

Mangsa kemudiaannya dihantar ke Hospital Gua Musang dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

Tambah Mohd. Farhan, penerbangan itu diketuai Juruterbang, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Faizal Abd. Latiff serta dibantu tiga lagi anggota.