Tutup

Ceritalah: Sedekad berlalu, dunia terus ulang kesilapan lalu

Ceritalah: Sedekad berlalu, dunia terus ulang kesilapan lalu
Karim Raslan di sebuah pasar di Filipina pada 2016. - Foto Ceritalah
SAYA adalah seorang rakyat Malaysia. Pada 9 Mei 2018, negara saya menongkah aliran global yang menuju ke arah amalan autoritarian.

Pada masa itu, gabungan kemarahan ke atas skandal 1MDB dan kenaikan kos hidup mengakibatkan satu peningkatan sentimen anti-Najib yang tidak diduga hingga membawa kepada pengakhiran kacau pemerintahan pimpinan UMNO selama 60 tahun.
Teruja dengan pengalaman ini -- saya berada dalam siaran secara langsung TV pada malam itu -- saya pulang keesokan harinya dengan perasaan bahawa saya telah menyertai satu titik perubahan bersejarah, suatu kebangkitan semula demokrasi liberal dan juga satu peralihan penting daripada korupsi yang jarang berlaku (dan juga dilakukan secara aman).

Betapa silapnya saya.

Apa yang berlaku di Malaysia hanyalah suatu perubahan pendek dari suatu alunan global ke arah kanan. Apa yang saya istilahkan "Kemenangan Amnesia" apabila  semakin banyak negara yang menjadi bertambah melihat ke dalam, nasionalistik dan terus terang rasis.

Mari saya melihat ke belakang lagi, ke tahun 2016 dan "annus horribilis" demokrasi.

Tiga negara. Dua pilihan raya -- di Filipina, Amerika Syarikat -- dan satu referendum di Britain. Saya menghabiskan masa untuk mengikuti setiap satu, mengalami, sedikit ironi kejam demokrasi.

Pada mulanya saya fikir saya membawa sial: apakah kebarangkaliannya bagi seorang penulis yang menyaksikan kemunduran dramatik secara bertalu-talu itu? Kemudian saya sedar bahawa sejarah sentiasa memainkan silap mata pada kita dan bahawa ideal demokrasi liberal masa muda saya dalam bahaya akan berlalu pergi.

Pada Mei tahun itu, saya berada di Manila apabila Rodrigo Duterte, datuk bandar yang bercakap laju itu membatalkan semua ramalan dengan menyapu bersih masuk ke Malacanang dengan majoriti besar.



Bulan berikutnya di London, saya melihat -- dengan kejutan -- ketika mana rakyat British melakukan satu tindakan membahayakan diri yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU).

Dan kemudian pada November, ketika mana musim sejuk melanda keseluruhan American Midwest, saya mengalami puncak kesejukan apabila melihat bintang realiti TV yang selekeh, Donald Trump mengejutkan semua peramal dengan mengalahkan Hillary Clinton dan memperoleh jawatan Presiden.



Banyak penganalisis menyalahkan kempen digital yang berada di mana-mana dengan pacuan data serta kitaran Twitter yang bertubi-tubi tanpa henti. Sementara saya setuju bahawa Facebook telah menjadi suatu kanser teruk ke atas masyarakat, saya juga tahu bahawa terdapat isu-isu yang lebih mengganggu sedang berlaku.

Adakah saya, pada hakikatnya menyaksikan "Kemenangan Amnesia" ketika negara bersilih ganti kelihatan menolak pelajaran dari sejarah mereka sendiri pada masa mereka mendakap pemimpin yang paling kasar dan jahil?

Tetapi tentunya tidak semua orang menghidapi amnesia ini.

Satu detik terus berulangkali datang menghantui saya. Saya sedang menonton sebuah persembahan bual bicara politik apabila seorang pelakon wanita berusia 86 tahun, Sheila Hancock dengan potongan rambut pendek dan bergaya menawan menerangkan mengenai kuasa-kuasa sejarah di belakang pembentukan awal EU.



Menggali daripada memori beliau dan keluarganya, beliau bercakap mengenai kengerian perang dan kematian (55,000,000 dari Perang Dunia Kedua saja) dan juga keperluan untuk memelihara perdamaian Eropah. Ketika beliau menggambarkan satu wawasan serantau yang hebat dan kepentingan utama dalam menghalang berulangnya perang, adalah jelas bahawa Puan Hancock mempunyai ikatan kuat pada sejarah, pengetahuan dan pengalaman.

Beliau mewakili pihak lawan kepada "Kemenangan Amnesia". Bagaimanapun, amaran beliau yang kemas itu -- tenang, hebat, bermakna dan memberi ramalan  -- telah dikesampingkan.

Memori kolektif kita -- sentiasa lemah dan berjangka pendek -- telah bertambah buruk. Media sosial telah memusnahkan hierarki pengetahuan. Tokoh-tokoh berautoriti -- sejarawan dan ahli ekonomi -- diperkecilkan. Sebaliknya kita dapati diri kita ditarik oleh mereka yang bercakap paling kuat dan paling provokatif.

Tidak dapat dielakkan, suara-suara kasar ini (bual bicara radio adalah habitat pilihan mereka) menjadi rujukan bagi masyarakat kita. Dan apabila mereka berdepan dengan keputusan-keputusan penting -- Brexit, pemecatan Trump atau (seperti di Malaysia) isu-isu berkaitan dengan pertindihan autoriti sivil dan syariah -- nasihat yang kami terima diseleweng oleh prasangka kaum dan bigotri.

Amnesia menggegarkan masyarakat. Ia menghalangnya daripada benar-benar memajukan. Dan secara umum, tanda lapan puluh tahun (selepas dua atau tiga generasi) adalah kritikal.



Dalam kes Eropah dan Amerika, generasi yang hidup sepanjang Perang Dunia Kedua sedang berlalu. Apa yang ditinggalkan sekarang adalah satu lapisan tipis memori, mungkin sedikit filem (paling terkenal bagi orang British, filem seperti "Dunkirk" yang memelurkan semangat perjuangan "terkenal" mereka), separuh benar, mimpi dan pembohongan.

Kecepatan kita melupakannya juga telah meningkatkan sikap kita mengenepikan norma dan piawai masyarakat dalam perilaku kita. Mengapa mempedulikan kod kelakuan gaya lama apabila tiada sesiapa mengambil kisah terhadap perkara lalu? Apa yang penting hanyalah tumpukan lagi lebih banyak kuasa.

Bagaimanapun, sekali kita mula melupakan pelajarannya, kita akan tentunya mengulangi kesilapannya.

Di India -- demokrasi terbesar dunia -- yang mana telah mengundi awal tahun ini, kita menyaksikan suatu peleraian luar biasa sebuah perlembagaan pluralistik dan sekular dibentuk oleh Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru.

Tokoh ini dan yang lain seperti Dr BR Ambedkar, ikon Dalit (Golongan yang Tidak Boleh Disentuh) mengambil peduli tragedi Pemisahan dan juga kesilapan buruk Pakistan. Mereka menghormati sifat kosmopolitan India dan menolak penubuhan sebuah negara yang diikrarkan berbentuk menurut garisan agama (dalam hal ini ialah Hindu).



Pada minggu-minggu kebelakangan ini, Narendra Modi dan orang kuatnya Amit Singh telah secara semberono memecahkan legasi mulia ini. Undang-undang telah diluluskan yang mana ia akan meminggirkan penduduk Islam India (kira-kira 190 juta orang).

Kashmir yang majoriti Islam telah ditutup sempadannya untuk lebih empat bulan. Di Assam, sudah dibina kem-kem untuk mereka yang dianggap bukan warga India, Skala dan kecepatannya amat menakutkan.

Retorik yang keluar dari India sudah mula untuk sama dengan kebencian di Rwanda dan Nazi Jerman dengan istilah seperti "lipas" dan "penyelesaian terakhir" dilemparkan merata.

Saya ulangi: kesungguhan kita untuk tidak belajar dari perkara lalu bermakna kita akan mengulangi kesilapan tahun 1930-an dan 40-an.

"Kemenangan Amnesia" adalah juga "Kemenangan Kejahatan."


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.