Segelintir pemaju perumahan dipercayai sengaja mencari alasan untuk tidak membina sebarang penahan cerun dan lereng di kawasan pembinaan.

Pakar cerun dan tanah runtuh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin berkata ini kerana kos pembinaan penahan cerun dan lereng melibatkan kos yang tinggi.

"Pemaju akan sentiasa mencari alasan untuk tidak membuat penahan pada cerun atau lereng di sesuatu kawasan perumahan kerana melibatkan kos yang tinggi. Mereka perlu belanja jutaan Ringgit malah puluhan juta Ringgit untuk membuat benteng penahan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Namun jelasnya, isu keselamatan cerun dan lereng akan dipandang serius oleh pemaju apabila ia melibatkan projek berskala besar dan kos yang tinggi.

"Kalau projek itu berskala besar atau yang eksklusif, masalah penahan cerun atau lereng itu tidak menjadi isu tetapi apabila ia melibatkan pembinaan rumah kos rendah sebagai contoh, agak malang bagi pembeli," katanya.

Tambah Tajul, kos pembinaan penahan cerun juga menjadi isu yang membelenggu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Banyak kaedah kejuruteraan yang ada untuk diguna pakai dalam membina penahan cerun ini tetapi semua itu memerlukan kos yang tinggi.

"Kadang-kala, pihak PBT dan JKR tidak ada peruntukan dan tidak mampu untuk buat sekaligus mendedahkan sesuatu cerun itu berada dalam keadaan bahaya.

"Malah, kos untuk penyelenggaraan penahan cerun itu juga kadang-kala tidak berbaloi dengan jumlah kenderaan atau pengguna di jalan tersebut," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa papan tanda amaran cerun dan tanah runtuh di tepi jalan tidak memadai untuk mengelak kejadian tanah runtuh berlaku.