JIKA sebelum ini kami bawakan laporan berhubung keadaan terkini Tasik Chini yang 'tenat' akibat pencemaran ekosistemnya, timbul persoalan, tiadakah jalan untuk menyelamatkan tasik kedua terbesar di negara itu?

Kami bertemu penyelidik di Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bertanggungjawab memantau eko-sistem tasik itu sejak tahun 2004.

Menurut Nur Amelia Abas, 39 tahun, Pegawai Penyelidik di PPTC, biodiversiti di tasik itu mula terganggu selepas pencerobohan haram di beberapa kawasan sekitarnya.

"UKM telah menjalankan penyelidikan seawal tahun 1980-an lagi, dan kita dahulu buat kajian dan penyelidikan mengenai kepelbagaian biologi tumbuhan, hutan diterokap, kualiti air berkenaan dengan tanih dan sebagainya.

"Kita melihat perkara ini satu perkara yang serius. Kita nampak kemerosotan itu walaupun secara mata kasar tidak nampak perubahan.

"Contohnya, perkara-perkara yang kita tidak boleh sentuh, seperti bab penguatkuasaan guna tanah di sekitar Tasik Chini yang kita perketatkan, kawasan sensitif alam sekitar," katanya.

BACA: Chini Memilih: Masa depan Tasik Chini semakin muram?

Nur Amelia Abas, Pegawai Penyelidik di PPTC.

Malah, tumbuhan seperti pokok teratai yang menjadi tarikan utama pelancong turut musnah akibat banjir besar pada 2014.

Lebih memburukkan keadaan, kualiti air yang semakin merosot turut memberi kesan kepada ekosistem tasik berkenaan.

Tidak hanya menunggu, langkah pemulihan dirangka oleh PPTC dengan bantuan Kerajaan Negeri Pahang.

"Teratai, iaitu salah satu yang kita usahakan dulu, ia ada isu berkenaan dengan rumput ekor kucing, iaitu sejenis tumbuhan asing asalnya daripada negara Afrika.

"Pokok itu menjadi sangat dominan di tasik itu. Kita buat kajian, dan telah usulkan supaya kerajaan negeri buang rumput ini secara manual, bagi membantu tumbuhan seperti teratai hidup semula.

"Kita juga ada buat kajian bagi penamanam semula teratai. Kita perlu tanam semula pokok natif. Kita sudah ada senarai pokok semulajadi di Tasik Chini dan kita akan tanam semula secara pemulihan," katanya ketika ditemui di PPTC.

Disamping pelan pemulihan, kesedaran juga ujarnya, amat perlu, terutama terhadap masyarakat di sekitar kawasan tasik itu.

"Kita perlu mengambil peluang Tasik Chini yang diwartakan sebagai Biosfera Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Itu satu branding untuk tasik Chini.

"Kita patut guna pengiktirafan ini. Kita perlu belajar dari negara lain, contohnya seperti di Tonlé Sap di Kemboja, di mana mereka menggunakan network untuk mengubah kesedaran orang tempatan supaya sayang kepada tasik.

"Apabila kita jaga dan pelihara tasik, secara tidak langsung orang luar (pelancong) boleh datang. Tasik semula jadi tidak banyak. Ramai orang suka kerana biodiversitinya yang tinggi," katanya mengakhiri perbualan.