Ketua Menteri Chow Kon Yeow berharap Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) dapat dibentang ke Kabinet dengan secepat mungkin.

PTMP mengandungi tiga projek utama iaitu projek Transit Aliran Ringan (LRT), Pulau Pinang Link (PIL) dan Penang South Reclamation (PSR), katanya pada sidang berita di sini, pada Isnin.

Dari segi kemajuan tiga projek itu, katanya, bagi LRT, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan pelaksanaannya kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak Mac 2016 dan bagi PIL, kajian penuh yang diperlukan bakal disiapkan sebelum dikemukakan untuk kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

"PSR pula sedang dibuat penilaian oleh jawatankuasa teknikal Majlis Perancangan Fizikal Kebangsaan. Kami akan ambil tindakan susulan berkaitannya. Ini akan mengambil sedikit masa dan kami akan pastikan rakan penyampaian memberi fokus untuk menyiapkan semua kajian itu.

"Dalam masa 100 hari ini, kami akan berusaha untuk mempercepatkannya. Kami mungkin tidak mendapat kelulusan dalam masa 100 hari ini, tetapi kami ingin mempercepatkannya agar semuanya boleh disiapkan dalam tempoh 100 hari ini.

"Ini supaya, apabila ia dibentangkan kepada agensi Persekutuan, mungkin Kabinet serta Majlis Perancangan Fizikal Kebangsaan, semuanya berada dalam keadaan lengkap di peringkat teknikal untuk diteliti jawatankuasa itu," katanya.

Ditanya tentang status projek tebus guna tanah dan tiga pulau buatan manusia, Chow berkata projek pembinaan pulau itu mungkin dikekalkan.

Beliau berkata pembinaan pulau itu akan mewujudkan tanah seluas 4,000 hektar dan merancakkan aktiviti ekonomi di Pulau Pinang, terutama di Zon Perindustrian Bayan Lepas.

"Kami melihatnya dari sudut itu, bukan semata-mata sebagai model pembiayaan, tetapi juga untuk pertumbuhan Pulau Pinang pada masa akan datang," katanya.

Mengenai projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga jalan raya, Chow berkata beliau akan memanggil kontraktor terbabit, Zenith Consortium, untuk memberi taklimat kepadanya tentang status terkini.

Memandangkan kerajaan Persekutuan kini diwakili kerajaan PH, beliau berkata pihaknya akan melaksanakan projek itu.

"Malah, kami berharap dapat melaksanakan dua projek lebuh raya (Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu-Air Itam dan Tanjung Bungah-Teluk Bahang) dengan lebih awal kerana ia sudah mendapat kelulusan EIA," katanya. -- Bernama