BALLROOM Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu berubah wajah secara total, bukan lagi sebuah dewan jamuan seperti kebiasaannya.

Dekorasi elegan serba menawan itu mencuri tumpuan semua tetamu yang diundang oleh personaliti terkenal, Azrinaz Mazhar Hakim dan suaminya, Fairos Khan Abdul Hamid.

Tetamu tidak henti-henti memuji dan mengagumi sentuhan pereka tersohor Datuk Rizalman Ibrahim yang menjadikan majlis cukur jambul dan akikah Areesya Malaykha saling tidak ubah sebuah taman fantasi.

Carousel kuda yang diletakkan di tengah-tengah ballroom hotel berkenaan membawa kenangan dan memori tetamu terhadap zaman kegirangan sebagai kanak-kanak.

Hiasan serba mewah dan elegan itu sebagai tanda kasih, cinta dan sayang Azrinaz kepada puteri yang dilahirkannya pada 15 September lalu.


Mengadakan majlis cukur jambul dan akikah itu juga sebagai menterjemahkan rasa penghargaan Azrinaz buat kaum keluarga serta sahabat karib yang menjadi tulang belakang dalam kehidupannya selama ini.

Menurut Azrinaz, seperti wanita lain, beliau juga mahu menyediakan dan berkongsi apa sahaja yang terbaik buat Areesya Malaykha.

Ini kerana, Areesya Malaykha, jelas Azrinaz, adalah anugerah dan kurniaan yang terlalu berharga buatnya.

"Ibu mana yang tidak sayangkan anak mereka. Demikian juga dengan saya. Sementara ada rezeki dan kemampuan saya mahu abadikan majlis ini sebagai kenangan paling indah buat Areesya Malaykha apabila dia dewasa kelak.

"Dalam masa sama, saya mahu kongsi keindahan ini dengan kaum keluarga serta rakan-rakan karib yang sentiasa memberi kegembiraan dalam kehidupan saya," kata Azrinaz kepada Astro AWANI.

Majlis istimewa itu turut dihadiri Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sultanah Nur Zahirah turut berangkat ke majlis cukur jambul Areesya Malaykha. - Gambar koleksi peribadi AZRINAZ MAZHAR HAKIM



Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak ketinggalan menyempurnakan upacara cukur jambul Areesya Malaykha. - Gambar koleksi peribadi AZRINAZ MAZHAR HAKIM


Ramai kerabat diraja serta selebriti popular tanah air turut diundang oleh Azrinaz dan suaminya seperti Datuk M Nasir dan Dayang Nurfaizah yang turut mengadakan persembahan.

Artis lain yang turut hadir ialah Anuar Zain, Ziana Zain, Rozita Che Wan, Datuk Ziela Jalil, Datin Umie Aida, Datin Nina Juren Hanif dan ramai lagi.

Keluarga bahagia merakamkan kenangan di carousel kuda yang diletakkan di tengah-tengah ballroom hotel. - Gambar koleksi peribadi AZRINAZ MAZHAR HAKIM