Tutup

Cough CPR bukan kaedah tepat menangani serangan jantung

Cough CPR bukan kaedah tepat menangani serangan jantung
Memaksa diri untuk batuk dengan kerap akan memaksa jantung anda bekerja dengan lebih keras daripada biasa. - Gambar Arkib
KEBELAKANGAN ini kita melihat peningkatan kekerapan kes kematian mengejut yang disebabkan oleh serangan jantung.

Perkara ini amat membimbangkan sehingga menyebabkan berlakunya perkongsian tips & maklumat yang tidak tepat mengenai cara-cara yang perlu dilakukan ketika menghadapi serangan jantung terutamanya ketika berseorangan.
Antaranya perkongsian yang paling popular ialah satu tips yang kononnya dikongsikan oleh Dr Siva yang dikatakan seorang Pakar Jantung mengenai CPR untuk diri sendiri atau juga dikenali sebagai 'cough CPR'.

Sebenarnya, perkongsian ‘cough CPR’ yang tular tersebut adalah satu penipuan (hoax) yang telah lama berlegar dalam alam maya iaitu sejak 1999.
‘Cough CPR’ adalah cara yang tidak tepat dan salah sama sekali untuk dilakukan oleh orang ramai kerana ianya lebih berisiko & mengancam nyawa.

Kaedah tersebut tidak pernah diiktiraf oleh Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association) iaitu satu badan dunia yang bertanggungjawab membuat garis panduan Basic Life Support / CPR di dunia ini.

Malahan, Resuscitation Council UK juga turut mengatakan bahawa tidak ada sebarang bukti perubatan yang menunjukkan batuk secara bersungguh-sungguh (kuat dan berterusan) seperti yang disarankan dalam ‘cough CPR’ ini berkesan dalam menangani serangan jantung.

Kenapa batuk dengan kerap seperti yang dicadangkan adalah tidak sesuai dan bukan cara yang betul?

Apabila seseorang menghadapi serangan jantung, pada bila-bila masa jantung mangsa boleh terhenti dan bekalan oksigen kepada tubuh badan terutamanya otak juga akan terhenti. Keadaan yang sakit atau kurang selesa dan sesak nafas selalunya membuatkan seseorang merasa panik.

Memaksa diri untuk batuk dengan kerap akan memaksa jantung anda bekerja dengan lebih keras daripada biasa. Ia akan menyebabkan diri anda lebih mudah penat dan panik, secara tidak langsung akan menyebabkan kebarangkalian untuk jantung anda berhenti berdegup adalah lebih tinggi.

Apabila mengalami tanda-tanda serangan jantung seperti sesak nafas, dada berasa sakit dan sempit, jantung berdegup kencang dan sakit seperti diramas, sakit bahagian atas badan seperti tangan, rahang dan leher, kaedah yang terbaik ialah dengan mendapatkan bantuan perubatan kecemasan dengan kadar segera.

INGAT !!! Lebih cepat anda mendapatkan bantuan kecemasan, maka lebih tinggi peluang untuk anda terus hidup.



* Ts. Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.


Tag: Mohd Soffian Osman, Serangan Jantung, Kolumnis AWANI



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.