Hampir 100,000 rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan jika wabak koronavirus (Covid-19) berterusan sehingga penghujung tahun ini.

Menurut laporan akhbar theSundaily, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) meramalkan bahawa jumlah yang diberhentikan impak ekonomi kesan daripada virus itu boleh meningkat dua kali ganda daripada 40,000 orang yang kehilangan pekerjaan tahun lalu.

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan memetik sebagai berkata, keadaan pasaran ketika ini agak membimbangkan setelah banyak syarikat terjejas apabila sebahagian pendapatan perniagaan mereka merosot sehingga 50 peratus berbanding yang diperoleh sebelum ini.

"Sekiranya keadaan ini berterusan, angka pemberhentian boleh mencecah setinggi 100,000, iaitu lebih daripada dua kali ganda pada 2019," katanya.

Sehingga kini, lebih daripada 1,700 orang telah meninggal dunia akibat virus Covid-19 dan Malaysia mencatatkan sebanyak 22 kes.

Penganalisis perniagaan mendakwa pengusaha yang menganggap China sebagai rakan perdagangan mereka turut terjejas apabila aktiviti perniagaan di negara itu semakin perlahan ekoran penutupan beberapa bandarnya.

Sejak penularan wabak itu, banyak pemain industri di Malaysia mendakwa turut terkesan sehingga memaksa kerajaan membuat satu pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada 27 Februari ini bagi mengurangkan kesannya.

Shamsuddin berkata, perniagaan berkaitan sektor pelancongan dan pembuatan terutama yang bergantung kepada pasaran China di lihat berkemungkinan paling terjejas.

"Sudah tentu, pengusaha hotel turut terjejas apabila ribuan tempahan dibatalkan. Sektor perhotelan, restoran, syarikat penerbangan dan peruncit antara yang terkesan secara langsung, " katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Datuk Abdul Halim Mansor memetik sebagai berkata, menjadi kewajipan kerajaan untuk melakukan amaran serius oleh MEF dan mencari rakan perdagangan alternatif.

Menurutnya, jika isu itu tidak dapat diselesaikan, akan berlaku pergantungan yang lebih tinggi terhadap pekerja asing kerana gaji lebih rendah berbanding penduduk tempatan.

"Tahun lepas, mereka (MEF) meramalkan 30,000 hingga 40,000 diberhentikan sementara dan ia benar-benar berlaku. Jadi, saya berharap apa yang dikatakan kali ini (kemungkinan 100,000 pemberhentian) tidak akan dibuang oleh kerajaan.

"Ini kerana mereka yang paling terjejas adalah rakyat Malaysia sendiri. Majikan sebaliknya akan mengekalkan pekerja asing kerana lebih murah," katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, ekonomi Malaysia akan terus terkesan jika wabak Covid-19 di China tidak pulih sepenuhnya kerana banyak syarikat di negara ini bergantung kepada republik itu untuk mendapatkan produk dan bahan mentah mereka.

Katanya, dianggarkan sebanyak 20 peratus pengurangan penggunaan bahan api di China sejak wabak itu berlaku menunjukkan bahawa aktiviti pengeluaran juga berkurang sekali gus menjejaskan banyak rakan dagangan lain.

“Jadi banyak pemain industri di Malaysia yang menjana pendapatan melalui eksport barangan ke China juga akan menderita.

"Mungkin kerajaan perlu menyesuaikan ekonomi kita dengan cepat dan perlu mencari pasaran pengganti bagi import dan eksport negara," katanya.