Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 11 kes baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,114 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, lapan kes import melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

Katanya, tiga kes penularan dalam negara pula membabitkan dua kes adalah di kalangan warganegara dan satu kes bukan warganegara.

"Kes import tersebut adalah dari negara Singapura (3 kes: 2 kes di Johor, 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); Filipina (3 kes di Sabah); Australia dan Jepun masing-masing satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Dua kes penularan dalam negara dalam kalangan warganegara adalah kes saringan bergejala di sebuah pusat perubatan di negeri Kedah manakala satu jangkitan dalam negara yang melibatkan bukan warganegara pula adalah saringan tahanan baharu di lokap Balai Polis Tawau, Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Noor Hisham berkata, lapan kes telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya
sebanyak 8,817 kes (96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

"Sehingga kini, terdapat satu kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal sebanyak 125 kes," katanya.