Sejumlah 11 kes telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif pulih adalah sebanyak 8,476 kes bersamaan 97.8 peratus.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat lima kes baharu yang dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah 8,668 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada lima kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara (pemastautin tetap).

“Dua kes penularan di dalam negara pula melibatkan satu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu kes bukan warganegara iaitu saringan di dalam komuniti oleh Pejabat Kesihatan Daerah.

“Satu lagi di Selangor yang merupakan warganegara Malaysia iaitu saringan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 (kes ke-8649). Kes baru ini merupakan ahli keluarga kepada kes ke-8649,” jelasnya.

Sementara itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 71 kes dan ini menunjukkan pengurangan dari rekod sebelum ini.

Manakala, tiada penambahan kematian direkodkan dan jumlah kematian kekal 121 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga 6 Julai 2020, 414 orang yang diletakkan di bawah ‘Home Surveillance’ masih perlu menjalani ujian COVID-19 hari ke-13.

Jelasnya, jumlah ini adalah 206 orang kurang daripada jumlah yang telah dilaporkan pada 2 Julai 2020.

“KKM ingin memaklumkan status terkini bilangan Person Under Surveillance (PUS) yang didiscaj dari pusat kuarantin pada 10 Jun 2020 dan kemudiannya diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO).

“Sehingga 6 Julai 2020 jam 12 tengah hari, daripada jumlah 5,804 individu di bawah arahan HSO ini, 414 orang masih perlu menjalani ujian COVID-19 hari ke-13.

“Selebihnya, iaitu 5,390 orang telah diberi pelepasan atau Home Release Order selepas saringan hari ke-13 didapati negatif,” jelasnya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata bilangan ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang didiperolehi dari Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri.