Sebanyak 111 kes positif COVID-19 berjaya dikesan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kluang, Johor, ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Manakala, 277 kes dicatatkan di PKPD kedua iaitu di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

"Di Kluang, 11 kes kerana active case detection, iaitu kami menjejaki, uji dan rawat. Di Bandar Baru Ibrahim Majid ialah 88 kes dan bukan Bandar Baru Ibrahim Majid 23 kes.

"Hulu Langat, Selangor ialah 277 kes positif COVID-19 sehingga jam 9 malam, 31 Mac 2020," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Kes berkenaan berjaya dikesan melalui kombinasi pendekatan langkah pembendungan dan mitigasi semasa tempoh PKP.

"Jadi pendekatan PKPD bersama Accute Case Detection and Isolation memastikan apabila kes positif ditemui, ia akan diasingkan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengakui terdapat tanda-tanda awal yang menunjukkan kejayaan tindakan yang diambil sepanjang Fasa Pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua minggu lalu.

"Kalau kita lihat daripada gambarajah (Malaysia Economic Research), kalau unjuran warna merah itu, ada kes mendadak tetapi tindakan kita untuk PKP 1 kalau dilihat pada garisan biru, jadi kes tak naik secara mendadak, namun telah ada sedikit mendatar.Jadi nampak daripada graf ini ada kejayaan atau tanda-tanda awal kita berjaya dalam tindakan kita untuk melaksanakna PKP," tambahnya.

Susulan itu, KKM akan meningkatkan aktiviti dan strategi pada Fasa Kedua PKP terutama di kawasan hotspot COVID-19.

"Jadi kita harap Fasa kedua kita dapat tingkatkan aktiviti, strategi terutama hotspot yang dikenal pasti. dan kalau ada kes mendadak di hotspot tersebut, kita akan laksanakan PKPD di kawasan tersebut. Dalam PKPD kita akan cari, uji, kenal pasti dan asingkan mereka yang positif," kata Dr Noor Hisham.