Malaysia merekodkan 14 kes baharu positif COVID-19 setakat jam 12 tengah hari pada Ahad dengan 13 daripadanya merupakan kes penularan tempatan, dan hanya satu kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 13 kes penularan tempatan tersebut, 11 daripadanya dikesan daripada Kluster Sivagangga di Kedah.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, Dr Noor Hisham memaklumkan dua lagi kes penularan tempatan turut dikesan dari saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan.

“Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia adalah dari Kedah, 11 kes daripada Kluster Sivagangga dan Sabah, dua kes saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Laut Labuan.

“Kes pertama merupakan pelajar yang tiba dari Sandakan, Sabah yang akan memulakan pengajian di Wilayah Persekutuan Labuan. Kes kedua pula dari Penampang, Sabah yang datang ke WP Labuan untuk bercuti bersama keluarga.

BACA: Kluster Sivagangga: Dua pelajar sekolah rendah dikesan positif COVID-19

“Satu kes import pula adalah kes yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan bukan warganegara dari negara Filipina,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat 17 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,664.

Tambah beliau, tiada kematian direkodkan pada Ahad dan dua pesakit berada dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan salah seorang daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes bersamaan 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya.