15 lagi kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari pada Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes dicatatkan, 10 daripadanya merupakan kes penularan tempatan manakala selebihnya adalah kes import.

“Lima kes import tersebut adalah dari negara Filipina iaitu empat kes dengan tiga kes melibatkan warganegara dan satu kes bukan warganegara di Sabah.

“Satu lagi kes import adalah daripada Afrika Selatan iaitu seorang bukan warganegara yang pulang dari Afrika Selatan.

“Daripada 10 kes penularan tempatan, lapan kes adalah melibatkan warganegara Malaysia dan dua kes adalah di kalangan bukan warganegara,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Tambah beliau, daripada lapan kes penularan tempatan melibatkan warganegara, enam daripadanya datang daripada Kluster Sivagangga di Kedah.

Manakala dua lagi kes adalah dari Sabah dan Negeri Sembilan.

“Dua kes penularan tempatan melibatkan bukan warganegara pula adalah satu dari saringan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Negeri Sembilan dan satu saringan komuniti bersasar di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 11 kes yang telah pulih COVID-19 pada Khamis, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,713 kes.

“Sehingga kini terdapat dua kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini. Justeru jumlah kematian di Malaysia adalah kekal 125 kes iaitu bersamaan dengan 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” jelasnya lagi.