Sebanyak 15 kes baharu COVID-19 dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 11 merupakan kes penularan dalam negara manakala empat lagi merupakan kes import.

“Sehingga 13 Ogos 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat 15 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,129 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 183 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.berkata, 11 kes merupakan jangkitan dalam negara, manakala empat lagi merupakan kes import,” katanya dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia, di sini hari ini.

Daripada keseluruhan 11 kes penularan tempatan pula, Dr Noor Hisham berkata, 10 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan satu kes bukan warganegara di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, iaitu kes saringan sebelum bertolak ke luar negara.

Perincian baki kes penularan COVID-19 dalam negara di kalangan warganegara Malaysia (10 kes) adalah seperti berikut:

• Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: satu (1) kes saringan pra pembedahan di sebuah pusat perubatan. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh;

• Kedah: sembilan (9) kes daripada Kluster Tawar.

Bagi empat kes import pula, Dr Noor Hisham berkata, mereka merupakan pelajar warga negara Malaysia yang baru pulang dari luar negara iaitu tiga dari Indonesia, dan seorang lagi dari Yaman.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat dua kes dirawat di Unit Rawatan Rapi, tetapi tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kematian pula, katanya lagi, kekal 125 kes ekoran tiada pertambahan kes baharu.