172 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif virus berkenaan di negara ini sebanyak 7,417 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini adalah 1,323 kes.

"Ingin dimaklumkan daripada 172 kes baru yang dilaporkan, 5 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 112 kes telah dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI). Rakyat tempatan yang dikesan positif COVID-19 adalah seramai 8 kes hari ini.

"Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depoh-depoh Imigresen ini merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.


Sehingga kini, seramai lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, 34 kes dilaporkan telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 5,979 kes (80.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," tambahnya.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujarnya.