Sebanyak 187 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Selasa, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 7,604 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,448 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Jelasnya, daripada 187 kes, hanya empat kes melibatkan penularan dalam kalangan warga tempatan.

"Daripada 187 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu tujuh warganegara Malaysia dan tiga pemastautin tetap atau pasangan kepada warganegara Malaysia.

"Daripada 177 kes penularan tempatan, 173 kes adalah bukan warganegara Malaysia dengan 155 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, dan 13 kes daripada Kluster Pengawal Keselamatan Cheras," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.


Katanya, sehingga kini, sebanyak lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) turut memaklumkan tiada kes kematian baharu berkaitan COVID-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.51 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," ujarnya.