Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ni mengesahkan terdapat 22 kes positif baharu COVID-19 dikesan di negara ini sehingga Sabtu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu lima kes merupakan kes import manakala 17 kes melibatkan penularan tempatan.

Selain itu, KKM turut memaklumkan terdapat 59 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya ialah sebanyak 5,571 kes atau 80.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sehingga 17 mei 2020, 12 tengahari terdapat 22 kes baharu dilaporkan, jumlah kes positif di Malaysia 6,894 kes dan jumlah kes aktif kebbolehjangkiatan 1,210 kes. Daripada 22 kes baharu, lima kes import mendapat jangkitan luar negara, 17 kes penularan tempatan dan sembilan kes bukan warganegara Malaysia.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 113 kes (1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya pada Ahad.