Sebanyak 39 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 38 daripadanya melibatkan kes jangkitan tempatan dan satu kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, 74 kes telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

"Sehingga 7 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 39 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,467 kes.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,584 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Khamis.

Daripada 39 kes baharu berkenaan, sembilan kes melibatkan 30 warga asing dan 9 rakyat tempatan.

"Ingin dimaklumkan bahawa daripada 39 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 38 kes, di mana sebanyak 8 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," tambahnya.

Dalam masa sama, Dr Noor Hisham turut mendedahkan satu lagi perkembangan yang baik apabila tiada kes kematian dicatatkan setakat hari ini.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 107 kes (1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)," tambah beliau.

Sehingga kini, seramai 19 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah tersebut, 8 kes memerlukan bantuan pernafasan.


KKM juga menzahirkan selamat Hari Wesak 2020 kepada semua penganut agama Buddha di Malaysia,
terutamanya petugas kesihatan dan juga anggota barisan hadapan.

Pada masa sama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih perlu dipatuhi, pastikan jarak sosial selamat (social distancing) sekurangkurangnya 1 meter dari orang lain dan tidak mengadakan atau
menyertai sambutan secara beramai-ramai.

"Lazimnya sempena Hari Wesak, penganut ajaran Buddha akan mengunjungi kuil Buddha bersama-sama keluarga pada waktu pagi untuk upacara keagamaan.

"Walaupun perhimpunan secara besar-besaran dan aktiviti kunjung-mengunjungi tidak dibolehkan pada masa kini, namun begitu sambutan Hari Wesak pada kali ini masih boleh diraikan dengan norma dan kelaziman baharu," ujar beliau.