Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: 88 positif di tiga kluster tapak pembinaan

COVID-19: 88 positif di tiga kluster tapak pembinaan
Dr Noor Hisham berkata, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengenakan perintah tutup tapak pembinaan dan rumah kongsi yang terlibat dengan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2.
PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 88 kes positif COVID-19 daripada tiga kluster melibatkan tapak pembinaan sehingga Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, 31 kes positif COVID-19 dikesan di Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur; Kluster Tapak Pembinaan Setia Alam (13) dan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2 (44).
"Bagi Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur, daripada 488 sampel yang telah diambil, sebanyak 31 kes positif COVID-19 dikesan yang merangkumi 29 warga Bangladesh dan dua warga Indonesia, manakal 457 lagi didapati negatif virus itu.

"Kluster Tapak Pembinaan Setia Alam; daripada jumlah 91 sampel yang telah diambil, 13 kes positif dikesan yang terdiri daripada warga Bangladesh, manakala 78 yang lain negatif COVID-19," katanya dalam sidang media harian di sini pada Selasa.
Beliau berkata, Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2 dikesan daripada sejumlah 350 sampel yang telah diambil.

Katanya, daripada jumlah itu, 44 kes positif COVID-19 dikesan yang merangkumi 34 warga Bangladesh, warga Indonesia (sembilan) dan rakyat Malaysia (seorang), manakala 306 yang lain didapati negatif virus itu.

Tambahnya, kluster-kluster itu dikenal pasti susulan arahan saringan pekerja asing bagi industri pembinaan
terutama di zon merah di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum ini.

"Setakat 26 Mei, seramai 27,383 pekerja di tapak pembinaan telah disaring COVID-19 oleh majikan masing-masing.

"Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Kuala Lumpur dan Putrajaya juga telah mengenakan perintah tutup tapak pembinaan dan rumah kongsi yang terlibat dengan Kluster Tapak Pembinaan Kuala Lumpur 2," ujar beliau.