KOMUNITI Perkapalan Malaysia merayu kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia untuk mempertimbangkan semula nasib pelaut negara ini yang dipercayai ‘terkandas’ di kapal susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Moderator Komuniti Perkapalan Malaysia, Ahmad Badri Alwi, pergerakan pekerja pelantar minyak tidak terganggu tetapi pertukaran anak kapal ‘offshore support vessel’ (OSV) yang beroperasi di tempat yang sama disekat ekoran perbezaan keperluan imigresen.

“Komuniti Perkapalan Malaysia menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri berkenaan penyambungan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)."

"Isu ini perlu ada tindakan bagi jangka masa pendek, dan tindakan jangka masa panjang sekiranya PKP dan sekatan perjalanan dilanjutkan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Difahamkan, majoriti pelaut tidak mendapat gaji bulanan, sebaliknya, hanya menerima gaji apabila masih lagi dalam kontrak pekerjaan di kapal.

Badri berkata, apabila cukup tempoh, mereka akan bercuti untuk suatu tempoh yang agak panjang kerana sudah bertugas berbulan-bulan lamanya di kapal.

“Kami mendengar beberapa aduan oleh para pelaut yang terkandas dan tidak boleh berkomunikasi dengan ahli keluarga masing-masing kerana signal telekomunikasi yang tidak baik.

“Dari segi makan minum tiada masalah, kerana telah disediakan oleh pihak majikan. Tetapi telefon dan internet memang terhad. Terdapat beberapa lokasi di kawasan laut yang tidak mempunyai signal sama sekali,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Sehubungan itu, beliau merayu Kementerian Pengangkutan amnya dan Jabatan Laut Malaysia khususnya memberi bantuan yang sewajarnya kepada pelaut.

Walaupun operasi di pelabuhan berjalan seperti biasa, namun disebabkan PKP ini anak-anak kapal hanya dibenarkan “sign off” jika terdapat masalah kesihatan, tambah Ahmad lagi.

“Peruntukan boleh diperolehi daripada Kumpulan Wang Pusat Pengangkutan Laut (KWPPL) yang mana kumpulan wang berkenaan sememangnya berfungsi untuk membantu pelaut dalam pelbagai keadaan,”

“Ada pelaut yang sudah bercuti di darat sejak Disember 2019, dan dijadualkan bekerja semula pada Mac 2020. Namun, akibat PKP, mereka tidak dapat memulakan kerja,” katanya.

Dalam pada itu, Badri berkata, pekerja di darat yang diberhentikan kerja serta cukup syarat yang lain boleh memohon bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau, bagaimanapun, berkata pelaut yang telah tamat kontrak tidak layak untuk berbuat demikian.

Maka ini menyulitkan warga pelaut untuk melakukan sebarang perancangan bersama ahli keluarga di darat di saat pandemik COVID-19 serta turut menjejaskan aliran pendapatan pelaut-pelaut Malaysia.

.