Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Angka kes mungkin bertambah dengan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara

COVID-19: Angka kes mungkin bertambah dengan kepulangan rakyat Malaysia dari luar negara
Noor Hisham berkata 752 kes yang pulang dari seberang laut sedang dikuarantin di hotel-hotel ditetapkan. - Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah berkata penuntut dan pekerja Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara mempunyai potensi menyumbang kepada angka kes dari luar COVID-19.

Beliau berkata pada mulanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan hanya mereka yang pulang dari lima negara iaitu China, Iran, Itali, Jepun dan Korea Selatan yang mungkin berisiko tinggi, tetapi keadaan menjadi lebih membimbangkan sekarang selepas lebih daripada 172 negara menyekat perjalanan seberang laut.
"Kebimbangan kami ialah kes dari luar, sesiapa yang datang ke negara kita, jadi mereka mungkin berpotensi sebagai pembawa virus.

"Saya bimbang kerana kami menjangka jika kes dari luar pulang dan tidak diuruskan dengan baik dan kita (mungkin) menyaksikan peningkatan pesat kes, mungkin di dalam pertengahan April kerana tempoh inkubasi adalah kira-kira dua minggu.
"Justeru, ini adalah perkara yang membimbangkan kami dan faktor mengapa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kami sedar penuntut kita dari seberang laut sedang kembali. Ini adalah satu cabaran kepada kami, apabila kami mempunyai kes dari luar.

"Gelombang pertama berkaitan pelancong dari China, secara langsung atau tidak langsung. Gelombang kedua berkaitan kes dari luar," kata beliau semasa sidang akhbar harian COVID-19 di sini.


Dr Noor Hisham juga mengingatkan mereka yang kembali ke tanah air supaya mematuhi garis panduan PKP yang ditetapkan kerajaan, termasuk menjalani kuarantin selama 14 hari bermula dari tarikh mereka tiba di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata 752 kes yang pulang dari seberang laut sedang dikuarantin di hotel-hotel ditetapkan dan daripada jumlah itu, KKM mendapati lapan kes membawa simptom COVID-19.

"Lapan kes itu dikesan menerusi imbasan suhu, jadi kami perlu mengasingkan mereka dan diperiksa dengan lebih lanjut di hospital, " katanya.

Ditanya sama ada lebih elok jika rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dikecualikan daripada keperluan menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik tiba di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata ia mungkin dibolehkan berdasarkan persetujuan antara KKM dan Kementerian Kesihatan Singapura.

"Persetujuan kami dengan rakan sejawat di Singapura ialah pekerja Malaysia di Singapura yang ingin pulang perlu menjalani ujian di Singapura.

"Jika ujian mereka didapati negatif, maka kami tidak perlu mengulanginya lagi. Justeru KKM akan menerima keputusan ujian negatif itu," katanya.

-- BERNAMA