ASEAN akan meningkatkan kerjasama dalam bidang kesihatan susulan penularan wabak COVID-19.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan, ia melibatkan perkongsian maklumat dan kepakaran negara masing-masing dalam menangani virus berkenaan.

"Vaksin belum ditemui, namun kalau ada amalan terbaik di negara A, dan nampaknya berjaya, maka kita boleh berkongsi maklumat berkenaan dengan negara lain sebab wabak ini yang menjadi merunsingkan ialah setakat ini belum ada pengesahan mengatakan cara merebak ialah a,b,c.

"Namun, dengan kata lain, kita perlu berkongsi maklumat apa yang berkesan dalam konteks ini," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dan China penularan wabak koronavirus (COVID-19) di Vientiane, Laos pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

Melalui mesyuarat khas itu juga, ASEAN menyatakan komitmen bersama China untuk berkongsi maklumat dan meningkatkan kerjasama pada peringkat awal dalam menangani COVID-19.

"Kami bertukar pandangan antara pakar dalam dunia perubatan, dan melihat supaya apa sahaja kesan ekonomi, kita akan sama-sama atasinya.

"Juga ada persefahaman dalam jangka masa pendek dan pertengahan bagi mengelakkan berlakunya stigma yang tidak bagus untuk keamanan yang wujud," ujar beliau.

Malah, ASEAN menyatakan keyakinan terhadap China dalam menangani wabak COVID-19.

"Negara ASEAN masing-masing menawarkan apa sahaja bentuk bantuan yang mampu diberikan untuk mengatasi masalah ini bersama," tambahnya.