Dalam krisis pandemik COVID-19, dua golongan yang paling terkesan ialah golongan B40 dan peniaga kecil atau perusahaan kecil sederhana (PKS), jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Untuk itu, pihak kerajaan sedang mempertimbangkan bentuk bantuan tambahan kepada mereka golongan perusahaan kecil sederhana (PKS) selepas mengadakan pertemuan dengan usahawan-usahawan kecil yang mengakui bantuan sebelum ini tidak mencukupi.

“Perkara ini sedang diperhalusi oleh pihak kerajaan, maknanya kerajaan mendengar suara mereka dan kita bermesyuarat setiap hari

“Untuk tempoh terdekat kerajaan ambil keputusan mungkin akan ada bantuan tambahan untuk kumpulan peniaga peniaga kecil PKS kerana mereka terkesan.

“Banyak yang kita pelajari daripada masalah yang kita hadapi ketika ini, maka kita perlu ambil peluang dengan bersiap sedia untuk menghadapi bulan-bulan dan tahun-tahun yang akan datang.

“Jadi, ini merupakan ruang untuk kita buat reformasi untuk buat perubahan cara kita bekerja umpamanya,” jelasnya dalam satu temu bual program Agenda AWANI pada Khamis.



Bagaimanapun, ahli parlimen Jeli itu memberitahu bahawa golongan B40 merupakan kelompok paling ramai justeru tumpuan kerajaan adalah memberi wang tunai kepada mereka untuk memastikan berupaya membeli makanan.

Ini kerana, beliau memberitahu bahawa kelompok yang jarang menerima bantuan kerajaan dan kebanyakannya terdiri daripada peniaga IKS serta menyumbang kira-kira 3.8 peratus pengeluaran negara.


Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan bahawa impak pandemik COVID-19 sedikit sebanyak ada memberi kesan baik kepada sesebuah negara iaitu memberi peluang negara itu memajukan sistemnya.

Namun jelasnya lagi, untuk memajukan sesebuah negara dalam masa-masa akan datang, setiap rakyat perlulah menjalani beberapa reformasi radikal.

“Dari segi ekonomi, kita telah memanfaatkan seluruh tenaga pakar-pakar kita untuk kita melihat struktur ekonomi kita.

“Kita telah berjaya dari segi itu, tetapi untuk melonjak naik sebagai sebuah negara maju, kita perlu menjalankan beberapa reformasi radikal.

“Dari segi minda, latihan, pendidikan dan kurikulum kita inilah masanya. Jadi, krisis COVID-19 ini memberi ruang kepada kita untuk melonjak sebagai negara yang lebih hebat pada masa akan datang,” tambahnya lagi.