Usaha kerajaan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 banyak bergantung kepada kepatuhan rakyat Malaysia untuk mengikut arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, peranan rakyat sangat penting untuk dalam meratakan lengkung, serta membolehkan petugas kesihatan lebih banyak masa dan kapasiti untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan masyarakat.

Dalam catatan di Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata, setiap rakyat Malaysia mesti memainkan peranan mereka dalam memerangi pandemik ini.

“Kepada orang ramai. Anda adalah penentu utama dalam menghentikan penularan pandemik ini. Harapan kami pada masa ini adalah anda terus duduk di rumah dan kekal mematuhi PKP,” katanya lagi.


Dr Noor Hisham berkata, Malaysia kini sedang melalui suatu tempoh yang sangat getir dan setiap seorang daripada rakyatnya telah pun terkesan akibatnya.

“Dalam menangani peristiwa yang julung kalinya berlaku dalam sejarah negara kita, langkah-langkah baharu telah dilaksanakan termasuklah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Walaupun situasi semasa ini adalah suatu pengalaman yang baharu bagi kita semua, sektor kesihatan telah merancang dan bersiapsiaga untuk sebarang kemungkinan. Dengan penglibatan petugas daripada semua peringkat, kami melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada sikap dedikasi dan keikhlasan petugas kesihatan baik di sektor awam mahupun swasta, dan menganggap ia sangat luar biasa dan menakjubkan.

“Ramai yang telah meninggalkan orang yang tersayang di rumah dan mengorbankan masa dan keselesaan untuk berada di barisan hadapan demi merawat pesakit kita.

“Kementerian menghargai setiap satu daripada anda serta segala kudrat yang telah dan sedang anda curahkan setiap hari,” katanya lagi.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang dan petugas barisan hadapan yang lain.

“Kepada para penyumbang kami, sememangnya kami amat terharu tatkala menyaksikan kemurahan hati sebegitu banyak individu dan organisasi, kecil dan besar, tempatan dan antarabangsa.

“Bagi pihak petugas di barisan hadapan, saya ucapkan terima kasih,” katanya lagi.