Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya menggunakan pelitup muka selain mementingkan kebersihan tangan dan penjarakan fizikal yang selamat.

Katanya, terdapat dua jenis pelitup muka yang boleh digunakan bagi tujuan pencegahan jangkitan COVID-19 iaitu pelitup muka perubatan dan pelitup muka bukan perubatan.

Menjelaskannya, pelitup muka perubatan seperti pelitup tiga lapisan, digunakan oleh petugas kesihatan, orang awam yang mempunyai gejala saluran pernafasan, golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis serta darah tinggi

Sementara, penggunaan pelitup muka bukan perubatan disyorkan untuk mereka yang tidak mengalami gejala namun berada di tempat-tempat di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan.

"Selain itu, terdapat juga pelitup muka bukan perubatan jenis fabrik di pasaran. Namun, ia mungkin tidak menepati ciri-ciri yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

"Pelitup muka tersebut boleh dipakai untuk kegunaan orang awam tetapi keberkesanannya mungkin berbeza bergantung kepada jenis dan bilangan lapisan kain yang digunakan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Pada masa yang sama, Noor Hisham juga mengingatkan orang ramai bahawa pelitup muka tidak boleh dikongsi dengan orang lain.

Semua pelitup muka katanya, perlu dipakai dan dilupuskan dengan cara yang betul.

"Pelitup muka tidak boleh dipakai oleh kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun, mereka yang sukar bernafas dan individu yang tidak sedarkan diri, kurang berupaya atau tidak dapat menanggalkan pelitup muka tanpa bantuan," katanya.

Noor Hisham menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama penuh dalam memerangi pandemik COVID-19 dan mengaitkan usaha itu dengan peribahasa 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

Peringatan itu dibuat susulan arahan kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak, bermula hari ini.

Mereka yang ingkar arahan itu bakal berdepan hukuman denda RM1,000 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).