Bilangan kes positif COVID-19 baharu yang direkodkan di Malaysia kembali kepada angka satu digit iaitu sebanyak tujuh kes pada Isnin.

Bilangan itu adalah separuh daripada kes yang dicatatkan pada Ahad iaitu sebanyak 14 kes.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan, berkata daripada tujuh kes baharu tersebut, enam daripadanya merupakan kes import dan satu kes penularan tempatan.

“Sehingga jam 12 tengah hari 13 Julai 2020, terdapat tujuh kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,725 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 83 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada tujuh kes baharu, enam kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara Malaysia dan empat bukan warganegara (pemastautin atau dibenarkan masuk ke Malaysia di atas urusan kerja).

“Manakala satu kes penularan di dalam negara pula adalah warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster PUI (individu dalam siasatan) Novgorod,” kata kenyataan kementerian itu.

Dalam pada itu, tiada kematian akibat COVID-19 dilaporkan dan ia menjadikan jumlah kes kematian kekal pada 122 kes.