Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan 2020

COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan 2020
India menjadi negara terbesar dunia dengan pelaksanaan perintah berkurung selama 21 hari - Foto Agensi
PENGUMUMAN lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang memeranjatkan dan telah saya jangka dari awal pelaksanaan perintah yang sama di beberapa negara lainnya.

PKP yang masuk hari kesembilan hari ini telah menyaksikan pelbagai perkara yang berlaku dalam seminggu tempoh penguatkuasaannya dan boleh dijadikan ibrah dan ditambah baik bagi memastikan kelancarannya.


Degil dan ingkar

Terdapat segelintir individu yang degil dan tidak bertanggungjawab dengan sengaja mengingkari pada PKP yang telah dikuatkuasakan seperti arahan tidak keluar rumah kecuali apabila perlu, larangan berkumpul, serta lain-lain arahan dan larangan berkaitan dengan pelbagai alasan diberikan apabila ditahan oleh pihak berkuasa bagi merasionalkan tindakan tersebut.
Penguatkuasaan secara mesra melalui advokasi oleh pihak keselamatan diremehkan oleh mereka, memaksa tindakan lebih tegas diambil dengan beberapa individu telah direman dan didakwa atas pelbagai kesalahan termasuklah mempersenda perintah yang dikuatkuasakan, menghalang tugas polis dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.

Hasilnya, kita menyaksikan peningkatan kadar peratusan pematuhan terhadap PKP dan terkini ia telah mencapai kadar 95 peratus seperti yang dinyatakan dalam perutusan khas Perdana Menteri pada Rabu.
Hal ini membuktikan bahawa, bagi memastikan kadar pematuhan PKP secara 100 peratus untuk tempoh baki tiga minggu yang mendatang, tindakan tegas oleh pasukan keselamatan adalah sangat-sangat diperlukan.

Topeng muka dan bahan pencuci tangan

Masih wujud kekeliruan tentang keperluan terhadap topeng muka dan bahan pencuci tangan menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap kedua-dua bahan tersebut sehingga berlaku kekurangan bekalan dan kenaikan harga yang mendadak.

Ekoran dari itu, menurut Pusat Amaran Jenayah Siber PDRM (Cyber Crime Alert), sejak Januari hingga 24 Mac 2020 ini, terdapat 336 kertas siasatan dibuka melibatkan penipuan face mask atas talian terutamanya di Facebook dan kes ini meningkat dengan banyaknya setiap hari.

Kekeliruan ini turut berlaku dalam kalangan pasukan keselamatan yang membuat sekatan jalan raya apabila terdapat rungutan daripada orang ramai bahawa mereka diarahkan untuk memakai topeng muka oleh anggota yang bertugas.

Malahan ada sesetengah premis tidak membenarkan orang ramai berurusan jika tidak memakai topeng muka.

Pemberian topeng muka juga menjadi usaha penting bagi mengekang penularan COVID-19

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia, pemakaian topeng muka hanya perlu dipakai oleh mereka yang ada gejala pernafasan sahaja seperti batuk, selsema dan bersin, bertujuan untuk mengelakkan gejala tersebut daripada tersebar kepada orang lain.

Manakala penggunaan bahan pencuci tangan hanya diperlukan apabila tiada kemudahan air dan sabun cuci tangan, bertujuan untuk menghapuskan kuman atau bakteria yang ada pada tangan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah pada 23 Mac lalu sekali lagi menegaskan perkara yang sama.

Malahan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga turut menyatakan tiada sebarang arahan yang dikeluarkan untuk mewajibkan pemakaian topeng muka kepada orang awam.

Penjarakan sosial

WHO mengesahkan bahawa penularan wabak COVID-19 adalah melalui cecair badan (droplet) dari mereka yang dijangkiti kepada orang lain.

Oleh itu, WHO menegaskan agar orang ramai dalam memastikan jarak sosial yang selamat seperti yang disarankan iaitu sekurang-kurangnya satu meter dari individu yang lain apabila perlu berurusan di kawasan orang ramai seperti di bank, pasaraya, pasar, dan lain-lain.

Antara isu yang sering diutarakan dalam perlaksanaan PKP ini ialah kegagalan orang ramai dalam mematuhi saranan penjarakan sosial ini sehingga pihak keselamatan terpaksa mengambil tugas dalam memastikan kepatuhan terhadapnya.

Dalam menangani isu ini, pihak yang menyediakan perkhidmatan harus sama-sama memikul tanggungjawab dalam memastikan pelanggan mereka mematuhinya.

Premis berkaitan boleh membuat garisan jarak yang selamat, selain menghadkan bilangan pelanggan yang masuk ke premis mereka dan masa berurusan.

Hadkan operasi jabatan kerajaan

Dalam keadaan semua sekolah dan taska terpaksa ditutup pada waktu perintah berkuatkuasa, adalah sukar bagi mereka yang terlibat dengan perkhidmatan tersebut untuk menguruskan anak-anak kecil mereka terutamanya jika kedua-dua suami dan isterinya juga dalam bidang perkhidmatan yang serupa.

Semakan semula perintah tersebut terhadap perkhidmatan tertentu harus dilakukan bagi memudahkan petugas terutamanya kakitangan agensi berkaitan yang terlibat secara langsung dengan operasi pencegahan dan pengawalan COVID-19 ini.

Sebagai contoh, operasi kesihatan sama ada hospital dan klinik-klinik kesihatan yang beroperasi seperti biasa pada waktu ini mungkin boleh dikaji semula supaya memberi tumpuan kepada kes-kes kecemasan dan mod panggilan (on-call) sahaja.

Beroperasi seperti biasa dapat meningkatkan risiko jangkitan kepada petugas kesihatan terutamanya di fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan pesakit luar.

Begitu juga bagi jabatan atau bahagian yang tidak terlibat dengan operasi COVID-19 ini tetapi diminta untuk tetap bertugas seperti biasa hanya kerana mereka sebahagian daripada Jabatan Kesihatan adalah tidak sewajarnya berlaku.

‘Just stay at home’

Bagi masyarakat Malaysia, anda hendaklah sentiasa berada di rumah dan hanya boleh keluar atas urusan penting dan mendesak, seperti mendapatkan rawatan perubatan atau mendapatkan bekalan makanan.

Sentiasa mengikuti perkembangan terkini dari pihak berkuasa dan pastikan hanya dari sumber rasmi dan sahih seperti saluran berita di televisyen, akhbar perdana, laman sesawang atau media sosial rasmi agensi berkaitan.

Jangan berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau tidak benar bagi mengelakkan sebarang situasi panik dalam kalangan masyarakat.


Doa dan harapan

Terima kasih kepada semua petugas yang telah bertungkus lumus, berkorban masa dan mempertaruhkan nyawa mereka dalam menangani krisi COVID-19 ini terutamanya kepada anggota perubatan, pasukan keselamatan, petugas media, dan semua sukarelawan yang terlibat.

Kita doakan agar semua petugas yang terlibat terus diberikan kekuatan dan kesihatan.

Semoga krisis ini dapat diatasi dengan segera dan segala aktiviti ekonomi dan sosial negara dapat kembali seperti sediakala.



* Ts. Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.




Tag: COVID19, Koronavirus, Covid-19, Penjarakan Sosial, PKP, Perintah Kawalan Pergerakan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.