Dua kes baharu COVID-19 dilaporkan pada Jumaat melibatkan wanita warga Jepun berusia 41 tahun yang bekerja di Malaysia serta lelaki Itali berumur 54, menjadikan jumlah kumulatif kes itu sehingga kini ialah 25 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita yang merekodkan kes ke-24 itu mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun pada Januari dan ke Indonesia pada awal Februari.

Menurutnya, pesakit mempunyai gejala demam dan telah mendapat rawatan pada 17 Feb sebelum dimasukkan ke hospital swasta pada 20 Feb.

"Ujian pengesanan COVID-19 diambil bagi kes ini dan disahkan positif pada 27 Feb. Kini beliau sedang dirawat di sebuah hospital di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes ke-25 melibatkan seorang lelaki warganegara Itali yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan telah menetap di negara ini serta mempunyai sejarah perjalanan ke Itali atas urusan kerja pada 15 hingga 21 Feb.

Menurutnya, lelaki itu mula mengalami gejala demam, batuk, sakit sendi dan sakit badan pada 22 Feb sebelum mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar bagi gejala yang dialaminya selama tiga hari berturut-turut iaitu pada 23 hingga 25 Feb.

"Ujian saringan pengesanan COVID-19 telah dijalankan ke atasnya dan disahkan positif pada 28 Feb. Beliau telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan pemantauan selanjutnya," jelasnya.

Dr Noor Hisham berkata daripada 25 kes positif itu, sebanyak 22 kes telah sembuh dan dibenarkan discaj, menjadikan kes yang masih menerima rawatan di wad pada ketika ini ialah tiga orang.

Sementara itu, beliau berkata pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster COVID-19 bersama pelbagai agensi diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pda 26 Feb lepas telah meneliti status terkini COVID-19 di seluruh dunia serta di Malaysia dan memutuskan beberapa langkah untuk tindakan.

Langkah yang diambil ialah mengenakan sekatan masuk sementara terhadap pelawat Korea Selatan dari Bandar Daegu dan Daerah Cheongdo, termasuk rakyat asing yang pernah berada di bandar dan wilayah itu dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia.

Ini meliputi pelawat yang transit melalui Malaysia, kata Dr Noor Hisham.

Selain itu, rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas (pas lawatan sosial jangka panjang dan pas pelajar) yang pernah berada di Bandar Daegu dan Daerah Cheongdo dalam tempoh 14 hari sebelum ketibaan ke Malaysia perlu menjalani tapisan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

Beliau berkata bagi meningkatkan kawalan di Pintu-pintu Masuk Antarabangsa Negara, Jabatan Imigresen akan turut menyediakan kaunter khas untuk pelawat dari Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.

Selain itu, beliau berkata kementerian terus mengambil inisiatif memantau secara rapi perkembangan jangkitan COVID-19 di Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran serta negara-negara lain yang turut melaporkan kes.

"Buat masa ini rakyat Malaysia dinasihat agar menangguhkan perjalanan ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19 di Republik Rakyat China (seperti yang dimaklumkan sebelum ini) dan juga di Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran.

"Langkah-langkah di atas berkuatkuasa serta merta. Pihak berkuasa Malaysia akan membuat penilaian berterusan dalam usaha mengawal dan menghapuskan COVID-19. Langkah-langkah itu akan dibatalkan sekiranya keadaan pulih semula," katanya.

Orang awam juga dinasihat, sekiranya bergejala dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari melawati China, Korea Selatan, Jepun, Itali dan Iran - untuk memaklumkan mengenai sejarah perjalanan itu kepada pengamal perubatan apabila pergi mendapatkan rawatan.

-- BERNAMA