ORANG ramai yang berkunjung ke majlis perkahwinan dinasihatkan untuk cuba elakkan meminta bantuan jurugambar perkahwinan merakamkan gambar menggunakan telefon bimbit atau kamera digital peribadi.

Pengamal jurugambar perkahwinan, Hadi Nor berkata, perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan, namun dalam situasi negara dan dunia yang kini dilanda pandemik COVID-19, tindakan itu perlu dielakkan.

“Kami cuba untuk meminimumkan seberapa banyak aktiviti berkaitan sentuhan seperti bersalaman dengan tetamu dalam majlis.. cukup sekadar tunduk dan senyum sebagai tanda hormat.

“Paling penting, buat masa ini, kurangkan atau elakkan meminta bantuan jurugambar perkahwinan merakam gambar menggunakan telefon pintar atau kamera peribadi.

“Bukan kami enggan, tetapi ia sebagai satu langkah berjaga-jaga dan mungkin ramai yang tahu, telefon bimbit itu merupakan salah satu tempat yang paling banyak bakteria.. cuma kita yang tak boleh nampak dengan mata kasar,” katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.

Panduan menghadiri majlis perkahwinan semasa penularan COVID-19

Menurut Hadi lagi, pengapit pengantin mungkin boleh memegang hand sanitiser sepanjang majlis berlangsung untuk pengantin selepas bersalaman dengan tetamu.

“Bagi jurugambar perkahwinan pula sentiasa memakai topeng muka dan membawa air minuman sendiri.

“Kerap cuci tangan dan bawa juga hand sanitiser. Sekurang-kurangnya ia mampu mengurangkan risiko penyebaran dan sebagai langkah keselamatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah mengeluarkan panduan penganjuran atau menghadiri majlis tau kenduri kahwin.

Antaranya termasuk tidak digalakkan bersalaman dan cukup dengan meletakkan tangan kanan pada bahagian dada sebelah kiri.

Selain itu, tuan rumah yang menganjurkan majlis turut dinasihatkan menyediakan hand sanitiser kepada tetamu sekiranya berkemampuan.

Tetamu juga perlu mengambil langkah sama seperti kerap mencuci tangan dan sekiranya bergejala, pakai topeng muka atau lebih baik untuk tidak menghadiri majlis berkenaan sebagai langkah keselamatan.