Empat individu yang dijangkiti COVID-19 telah dibenarkan pulang pada hari ini (Jumaat), demikian kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Wan Azizah, ia menjadikan angka terbaharu yang berjaya sembuh adalah tujuh orang kesemuanya.

Katanya, keempat-empat individu itu merupakan kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura, dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka dikesan dan dimasukkan ke wad isolasi (pengasingan) Hospital Sungai Buloh pada 24 Januari 2020 dan telah dilaporkan positif COVID-19.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan COVID-19 yang dijalankan menunjukkan hasil ujian sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Mereka merupakan warganegara China, membabitkan wanita berusia 66 tahun, 36 tahun, dan kanak-kanak lelaki berusia 11 dan dua tahun.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, setakat Jumaat, jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan kekal 19 kes.

Ia masing-masing membabitkan sembilan kes dalam kalangan kes pesakit dalam siasatan (Patient-Under-Investigation - PUI); lapan kes dalam kalangan kontak rapat; serta dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Daripada jumlah tersebut, 13 orang adalah warganegara China, sementara enam orang adalah warganegara Malaysia.

Setakat ini, jumlah kumulatif positif COVID-19 seluruh dunia adalah melebihi 64,000 dengan hampir 1,500 kematian direkodkan.