Sebanyak empat kes kematian membabitkan wabak COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 19 kes.

Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat pukul 12 tengah hari, terdapat 172 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,796 kes.

Katanya, daripada 172 kes baharu berkenaan, sebanyak 71 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling manakala baki 101 kes masih lagi dalam siasatan.

"Sehingga kini, seramai 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes kematian ke-16 merupakan kes ke-1,334, lelaki warganegara Malaysia berumur 75 tahun dan dia mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Kes kematian ke-17 merupakan kes ke-1,251, lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan dia mempunyai latar belakang penyakit kronik serta disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif COVID-19.

"Kes kematian ke-18 merupakan kes ke-1,625, lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan dia mempunyai latar belakang penyakit kronik manakala kes kematian ke-19 merupakan kes ke-1,246, perempuan warganegara Malaysia berumur 68 tahun," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, seramai 1,895 anggota kesihatan yang menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan KKM bebas daripada jangkitan COVID-19.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.

"Semua anggota kesihatan dan barisan hadapan dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial dan pemakaian alat pelindung diri (PPE) mengikut keperluan," jelasnya.