Empat lagi disahkan positif dalam kalangan kumpulan sekolah tahfiz dan madrasah menjadikan keseluruhan 695 kes dikesan daripada kumpulan itu, setakat Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan saringan ke atas 15,318 pelajar dan kakitangan dari 407 sekolah tahfiz dan madrasah.

"Daripada 21,722 sampel yang dikenal pasti, sebanyak 15,318 sampel atau 70.5 peratus daripada jumlah itu telah diuji.

"Daripada jumlah itu, 695 kes disahkan positif termasuk empat kes terbaharu yang dikesan semalam (Sabtu)," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Ahad.

Bagi kluster perhimpunan Masjid Sri Petaling yang melibatkan lima generasi pula, kata beliau, menyaksikan satu lagi kes positif dalam tempoh 24 jam.

Sementara itu, beliau juga berkata, tiada pertambahan kes di pasar awam dan pusat jagaan warga emas.

Dalam perkembangan berasingan, sebanyak 35,530 warga asing telah menjalani ujian pengesahan COVID-19 sehingga Ahad dan 1,965 daripada mereka disahkan positif jangkitan itu.

Empat daripada mereka katanya, dilaporkan meninggal dunia dan tiada pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

"Kita masih lagi menunggu keputusan 733 sampel lagi," jelasnya.