Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan empat sub-kluster baharu COVID-19 di beberapa buah madrasah dan sekolah tahfiz yang berkait dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat sub kluster tersebut masing-masing di madrasah di Jerantut, Pahang; Penanti, Pulau Pinang; Sungai Lui, Selangor; dan Jasin, Melaka.

“Sub-kluster madrasah di Jerantut, Pahang - jumlah orang yang disaring adalah seramai 401 orang, dimana 297 orang adalah pelajar dan baki 104 orang merupakan kakitangan dan ahli keluarga kakitangan.

“Jumlah kes positif : 62 kes (telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan). Jumlah kes sembuh/discaj (20 kes). Sub-kluster madrasah di Penanti, Pulau Pinang - jumlah orang yang disaring adalah seramai 291 orang di mana 256 orang adalah pelajar dan baki 35 orang merupakan kakitangan.

“Jumlah kes positif adalah enam kes, di mana dua kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar Kedah. Jumlah kes sembuh atau discaj adalah empat kes. Sub-kluster madrasah di Sungai Lui, Selangor - jumlah orang yang disaring adalah seramai 282 orang, dimana 274 orang adalah pelajar dan baki lapan orang merupakan kakitangan.

“Jumlah kes positif ialah 90 kes (telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara) Jumlah kes sembuh atau discaj (67 kes). Sub-kluster madrasah di Jasin, Melaka - jumlah orang yang disaring adalah seramai 137 orang, di mana 122 orang adalah pelajar dan baki 15 orang merupakan kakitangan. Jumlah kes positif ialah 37 kes (telah dimasukkan ke Hospital Melaka).

“Jumlah kes sembuh atau discaj adalah satu kes. Kesemua kes yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.


Katanya, KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenalpasti dan menguji semua kontak rapat dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.



KKM sebelum ini telah mengesan sebuah sub-kluster di Daerah Rembau, Negeri Sembilan yang berkaitan dengan perhimpunan di Seri Petaling.

Menurut Dr Noor Hisham, kluster itu mula dikesan apabila keputusan ujian COVID-19 adalah positif bagi beberapa guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Pedas.