Festival Bukit Bendera 2020 (PHF2020) yang dijadualkan pada Julai ini, ditangguhkan ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan wabak COVID-19.

Perbadanan Bukit Bendera dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan PHF2020 akan dijadualkan semula, tertakluk kepada pematuhan garis panduan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan pihak berkuasa yang berkenaan.

PHF tahunan itu dijadualkan berlangsung mulai 16 hingga 19 Julai untuk meraikan sejarah, alam semula jadi dan warisan budaya Bukit Bendera.

"Penangguhan berkenaan adalah langkah untuk melindungi pengunjung, peserta pameran dan penyokong PHF2020 susulan pandemik COVID-19 di seluruh dunia sekarang," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA