Kementerian Kewangan menegaskan Malaysia antara negara terawal yang melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan koronavirus (COVID-19).

Ia sekali gus menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa negara ini “lambat” selepas memaklumkan akan mengumumkan pakej tersebut pada 27 Februari ini.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pakej rangsangan ekonomi itu dilaksanakan sebagai persediaan memandangkan masih belum jelas lagi kesan sebenar wabak COVID-19.

“Kalau kita lihat negara-negara lain, mereka umumkan pakej rangsangan lebih lewat daripada Malaysia, jadi kita boleh dikira antara yang paling awal.

“Jadi, saya tidak faham (ada pihak) cakap kita lewat.

“Jangan lah berdasarkan perasaan sahaja. Itu mesti berdasarkan fakta. Kalau anda lihat berdasarkan fakta, memang Malaysia antara negara yang paling awal akan membuat pengumuman pakej rangsangan ekonomi,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Kolaborasi Strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Aria Putera Ismail.

Sebelum ini, Guan Eng berkata pakej rangsangan ekonomi tersebut bukanlah belanjawan baharu mahupun sebahagian daripada dasar-dasar Belanjawan 2020 tetapi merupakan bantuan kepada industri yang terjejas.

Menerusi pelaksanaan itu, syarikat-syarikat yang terkesan daripada wabak itu perlu memastikan mereka terus kekal beroperasi dan berupaya memanfaatkan lonjakan semula ekonomi pasca-COVID-19.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng berkata, kerajaan akan berusaha untuk mengimbangi semula kerugian yang dialami sektor terbabit termasuk pelancongan.

“Pada masa sama, kita akan berusaha untuk mengurangkan kesan negatif supaya mereka boleh terus kekal dan apabila kebangkitan ekonomi berlaku selepas wabak COVID-19 berakhir (penggiat industri pelancongan), dapat meraih manfaat dan juga keuntungan dairpada kebangkitan ekonomi ini.

“Jadi, saya rasa itu tujuan utama dan dalam pernigaan ada naik dan turun. Kerajaan akan cuba membantu,” ujarnya.

Menurut Bank Negara, ekonomi Malaysia pada suku keempat tahun 2019 berkembang sederhana pada 3.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku sama tahun 2018.

Malah, prestasi ekonomi negara pada suku pertama tahun ini pula, dijangka menerima kesan negatif daripada penularan COVID-19.