Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan agar kerajaan menggunakan pendekatan yang dilakukan Korea Selatan dalam mengawal penularan wabak COVID-19 dengan memberi saringan percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu diuji.

Najib berkata Korea Selatan yang jumlah penduduknya 51 juta orang berjaya mengawal kenaikan kes COVID-19 tanpa melaksanakan perintah berkurung atau kawalan pergerakan yang ketat.

"Negara itu mengambil langkah untuk memberi saringan percuma kepada sesiapa sahaja yang mahu diuji.

"Setakat ini, Korea Selatan sudah membuat lebih 300,000 saringan berbanding 15,196 saringan di Malaysia.

"Saya tetap berpendapat bahawa saringan percuma secara besar-besaran patut dijadikan prioriti utama kerajaan Malaysia," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Ahli Parlimen Pekan itu juga percaya kos memberi saringan percuma mampu memberi pulangan yang jauh lebih besar berbanding langkah-langkah lain yang diambil oleh kerajaan.

Selain itu, Najib turut optimis melaksanakan saringan besar-besaran adalah antara langkah paling efektif untuk melawan COVID-19.

Jelas beliau dengan kos RM700 seorang untuk membuat saringan, kerajaan telah membelanjakan RM10.6 juta untuk melaksanakan 15,196 saringan setakat ini.

Katanya jika kerajaan berjaya menurunkan kos saringan kepada RM500 seorang, jumlah kos untuk membuat saringan untuk 1 juta rakyat adalah RM500 juta.

"Jumlah nilai KDNK Malaysia adalah RM1.4 trilion tahun lepas atau sekitar RM3.8 bilion sehari.

"Sebab itu, apakah kos RM500 juta berbanding pulangan yang diperolehi jika kita mampu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara kita?

"Lagipun, kos setiap saringan COVID sedang menurun pada ketika ini kerana semakin banyak syarikat dalam dunia sedang memperkenalkan kit ujian COVID yang semakin mudah diguna dan semakin murah," katanya.

Najib turut menyarankan beberapa langkah kepada kerajaan antaranya terus berusaha untuk mengurangkan kos saringan serta masa untuk membuat setiap saringan.

Selain itu, Najib turut menyarankan kerajaan meningkatkan kapasiti untuk membuat saringan dan memudahkan cara rakyat mendapat saringan.

"Berpakat dengan rangkaian syarikat perubatan swasta untuk bersama-sama memberi saringan percuma tanpa syarat kepada setiap orang di Malaysia (termasuk orang asing tanpa kira mereka ada permit atau tak ada permit) yang ingin diuji sebab mereka percaya mereka mungkin terdedah kepada risiko COVID.

"Memberi jaminan bahawa sesiapa yang dikehendaki kuarantin diri secara mandatori di rumah sendiri atau di pusat kuarantin kerajaan selepas diuji akan dibantu dari segi kewangan dan bekalan makanan serta barangan keperluan dalam tempoh kuarantin.

"Dan sesiapa yang melanggar tempoh kuarantin ini akan dipenjarakan," tulis beliau.