Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Hanya 10 individu jalani kuarantin wajib disahkan positif

COVID-19: Hanya 10 individu jalani kuarantin wajib disahkan positif
Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, sebahagian daripada mereka yang menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara dibenarkan pulang. - Gambar fail BERNAMA
PUTRAJAYA: Hanya 10 individu daripada 15,000 rakyat Malaysia yang menjalani kuaratin mandatori selepas pulang dari luar negara disahkan positif jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, mereka adalah antara yang menjalani kuaratin wajib selama 14 hari di 112 institusi latihan awam dan hotel.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau rapat mereka yang diletakkan di pusat kuarantin khas dan sebahagian daripada mereka telah dibenarkan pulang," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, Kementerian Luar atas nasihat KKM memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air bermula 3 April lalu wajib menjalani pemeriksaan kesihatan dan dikuarantin di pusat kuarantin khas selama 14 hari selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam pada itu, ditanya mengenai status 44 buah daerah dikategori zon kuning yang tidak merekodkan sebarang penambahan kes baharu, Noor Hisham menjelaskan KKM akan memantau rapat daerah-daerah itu lebih daripada 14 hari sebelum dikategorikan semula sebagai zon hijau.

Katanya, pada masa yang sama KKM juga perlu memastikan tiada sebarang penambahan kes mendadak secara mengejut atau kes-kes Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di kawasan terbabit dalam tempoh itu.

"Ia adalah indikator penting bagi menunjukkan tiada sebarang penularan virus tersebut dalam masyarakat," jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menjelaskan Malaysia sedang berunding dengan Korea Selatan berhubung kos kit ujian yang dilaporkan mempunyai ketepatan hampir 100 peratus dalam mengesan jangkitan wabak itu.

"Kita masih berunding untuk mendapatkan kit ujian itu dengan harga yang lebih murah daripada RM50 memandangkan kita akan membeli dalam jumlah yang banyak," tambahnya.

Noor Hisham sebelum ini memberitahu, dengan menggunakan kit ujian Standard Q Bio-Censor itu, sampel tidak perlu lagi dihantar ke makmal.



Tag: COVID-19, Noor Hisham Abdullah, Korea Selatan, Dr Noor Hisham Abdullah, KKM, rakyat Malaysia, Kementerian Kesihatan, koronavirus, coronavirus, Kuarantin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.