Menyekat atau mengharamkan haiwan eksotik sebagai makanan boleh dianggap salah satu langkah membendung penyebaran virus COVID-19.

Namun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk memahami virus berkenaan, seterusnya mengenal pasti langkah terbaik mengelakkan pembentukan virus seumpamanya di masa hadapan.

Begitu pendapat Ketua Unit Penyakit Berjangkit dan Konsultan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Dr Petrick Periyasamy, yang mengakui amalan memakan haiwan-haiwan tersebut hanya sebahagian daripada keseluruhan cerita.

"Satu perkara kita kena ingat, amalan (pemakanan) sudah bermula di sana sejak bertahun-tahun lalu, jadi kenapa sekarang baru virus itu muncul?

"Tetapi dalam masa yang sama memang betul, mereka temui virus ini di pasar di Wuhan, di atas rak dan meja yang digunakan, malah ditemui juga pada haiwan-haiwan terbabit. Tetapi itu satu bahagian cerita sahaja.

"Jika berhenti makan, saya fikir mungkin akan ada pengurangan kes tetapi kisah sebenarnya kita belum tahu, sama ada seratus peratus ada kaitan dengan haiwan-haiwan itu, jangkitan daripada manusia kepada manusia juga sangat terhad setakat ini tetapi pengurangan makanan itu mungkin membantu," katanya.

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 China sahkan 411 kes baharu, 115 kematian

Mengenai jangkaan sesetengah pihak bahawa wabak itu akan mula reda menjelang April depan, Dr Petrick berkata semuanya masih terlalu awal namun tidak menolak kemungkinan adanya perkembangan positif, susulan penurunan kes jangkitan dalam tempoh seminggu ini.

"Vaksin akan mengambil masa lebih kurang 18 bulan lagi untuk disiapkan, saya fikir jika kita lihat apa yang berlaku pada SARS, harapnya situasi sama juga berlaku dengan COVID-19.

"Di China pun kes nampaknya semakin menurun, harapnya ia akan berterusan dan selesai sebelum vaksin siap," tambahnya.

Beliau ditemui selepas sesi Bicara Persada bertajuk 'COVID-19, Selamatkah kita?' di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini, pada Jumaat.

Dr Petrick juga menasihatkan agar penuntut institusi pengajian tinggi serta golongan pendidik tidak panik kerana Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan telah melakukan yang terbaik dalam mengawal penyebaran COVID-19 di negara ini.