Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyeru umat Islam di negeri ini agar bersama-sama menyertai program 'Rakyat Selangor Berdoa' pada Isnin dan Khamis depan bagi menzahirkan ikhtiar serta usaha dengan memohon pertolongan daripada Allah SWT bagi mendapatkan keselamatan, kerahmatan, keampunan dan perlindungan daripada ancaman wabak COVID-19.

Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata program berzikir dan berdoa itu akan dilaksanakan di rumah masing-masing #stayathome pada 8.50 malam selepas solat Isyak.

"Para imam di masjid dan surau pula akan mengalunkan bacaan zikir dan doa menggunakan pembesar suara tanpa kehadiran jemaah di masjid dan surau," menurutnya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau berkata umat Islam yang ingin mengikuti bacaan zikir dan doa boleh menontonnya secara langsung di laman Facebook Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan laman Facebook Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong.

"JAIS ingin menyeru agar umat Islam di Selangor sama-sama berzikir dan berdoa agar diberikan kekuatan mental, fizikal dan kesabaran tinggi terutama kepada petugas barisan hadapan serta pemimpin negara yang telah bertungkus-lumus menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat negara ini daripada wabak COVID-19," katanya.

Mohd Shahzihan berkata JAIS juga menyeru umat Islam di negeri itu agar mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara dan menggunakan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan untuk beribadat bersama-sama keluarga.

-- BERNAMA