Kementerian Kesihatan meminta rakyat di negara ini mengambil serius pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun ia mula menunjukkan kesan positif dari segi kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kementerian khuatir masyarakat alpa dan mengambil mudah PKP, yang kini memasuki fasa ketiga, memikirkan bahawa wabak COVID-19 hampir selesai.

“Rakyat Malaysia perlu terus patuh kepada Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), walaupun perkembangan dalam penurunan kes ini sememangnya positif namun masyarakat masih perlu berada di rumah.

"Selain itu, mereka harus mengamalkan jarakan sosial yang selamat (social distancing) sekurang-kurangya 1 meter dari orang lain, dan terus mengamalkan kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan,” katanya dalam sidang media harian COVID-19, di Putrajaya, hari ini.

BACA: COVID-19: Kes baharu kekal dua digit, PKP beri kesan positif - KP Kesihatan

BACA: COVID-19: Kluster baharu di Sabah, libatkan petugas kesihatan awam - Dr Noor Hisham

Terdahulu Dr Noor Hisham mengumumkan 54 kes terbaharu dicatat dalam tempoh 24 jam, dengan dua kematian baharu.

Namun beliau berkata, pematuhan pada PKP amat penting bagi memastikan usaha memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 tidak menjadi sia-sia.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa,” katanya lagi.