Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus hari ini mengisytiharkan penutupan kesemua masjid dan surau di negeri ini bagi tempoh 10 hari bermula esok.

Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Yusof Ahmad dalam satu kenyataan berkata, penutupan itu membabitkan kesemua aktiviti agama termasuklah membatalkan solat jemaah dan solat Jumaat.

Katanya, langkah penutupan masjid secara sementara itu bertujuan mencegah kluster jangkitan lebih besar susulan penularan COVID-19 melibatkan sebahagian kumpulan tabligh baru-baru ini.

Menurut beliau, keputtsan dibuat berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Kementerian Kesihatan dan perbincangan ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang, semalam.

“Berdasarkan kepada situasi terkini wabak COVID-19 yang semakin kritikal susulan gelombang kedua penularan selepas penemuan positif dalam kalangan 16,000 jemaah yang menghadiri program di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur baru-baru ini, Muzakarah berpandangan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat jemaah dan solat Jumaat ditangguhkan untuk 10 hari bermula 17 Mac sehingga 26 Mac.

“Dalam tempoh tersebut, semua masjid dan surau dinasihatkan untuk membuat operasi pembersihan dan penyahkuman sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus hari ini mengisytiharkan penutupan kesemua masjid dan surau di negeri ini bagi tempoh 10 hari bermula esok.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus hari ini mengisytiharkan penutupan kesemua masjid dan surau di negeri ini bagi tempoh 10 hari bermula esok.

Tambah beliau, persidangan itu turut membuat keputusan sekiranya berlaku kematian akibat virus COVID-19, jenazah boleh diuruskan melalui prosedur tayammum.

Mohd Yusof berkata, prosedur tayammum itu boleh dilakukan hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah tersebut sahaja.

“Dalam keadaan sekiranya berlaku kematian akibat virus COVID-19 pengurusan jenazah hendaklah dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-107 yang bersidang pada 10 hingga 11 Februari 2015.

“Mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki atau Dijangkiti Virus Ebola di Malaysia iaitu sekiranya terdapat keadaan-keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang boleh mengurus jenazah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, dalam melaksanakan kedua-dua perkara yang telah diputuskan itu, muzakarah menyerahkan kepada pertimbangan pihak berkuasa agama di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pelanjutan atau penamatan tempoh 10 hari berkenaan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan.